Rocester: Jon Rahm semakin hampir merangkul gelaran individu LIV Golf buat kali ketiga berturut-turut, namun bintang Sepanyol itu enggan mengulas lanjut mengenai masa depannya dan siri jelajah berkenaan.
Rahm mempunyai peluang menamatkan saingan sebagai juara individu di LIV Golf United Kingdom minggu ini selepas mengumpul 928.58 mata, jauh mengatasi Bryson DeChambeau yang mengutip 644.40 mata, manakala Joaquin Niemann di tangga ketiga dengan 344.66 mata.
Rahm, yang menjuarai dua gelaran LIV berturut-turut dan muncul juara keseluruhan musim 2025 mengatasi Niemann serta DeChambeau, berkata pencapaiannya membuktikan konsistensinya sepanjang musim.
“Ia membawa makna lebih besar daripada sekadar kemenangan. Ia menunjukkan anda bermain dengan baik secara konsisten dan proses yang dilalui membuahkan hasil.
“Saya sentiasa berbangga dengan prestasi yang konsisten serta kerap menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik dan bagi saya itulah gambaran sebenar kepada kemenangan,” katanya.
Bagaimanapun, Rahm mengakui dia masih perlu menampilkan aksi terbaik jika mahu mengesahkan kejuaraan lebih awal.
“Saya masih perlu menang dan pada masa sama mengharapkan Bryson melalui minggu yang kurang baik. Berdasarkan prestasinya minggu lalu, perkara itu mungkin sukar berlaku.
“Saya menjangkakan saingan sengit daripadanya dan pemain lain, jadi saya perlu bermain pada tahap terbaik untuk menamatkan cabaran ini,” katanya.
Selepas kejohanan di United Kingdom, LIV Golf hanya mempunyai dua lagi kejohanan musim ini iaitu di Bedminster, New Jersey pada 6 hingga 9 Ogos dan Indianapolis pada 20 hingga 23 Ogos sebelum Kejohanan Berpasukan di Michigan pada hujung Ogos.
Masa depan LIV Golf pula masih menjadi tanda tanya selepas Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) menarik diri daripada pembiayaan siri jelajah itu.
Rahm mengesahkan dia masih berhubung dengan pihak pengurusan LIV, namun enggan mendedahkan butiran lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




