PETALING JAYA: Shereen Samson Vallabouy berdepan ujian awal apabila perlu mengharungi kelompok pelari terbaik Asia dalam saringan 400 meter (m) wanita Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Stadium Olahraga Mizuho, Nagoya, hari ini.
Pelari kelahiran Perak itu bukan sahaja memburu tiket ke pusingan seterusnya, malah perlu mengatasi jurang catatan dengan pencabar utama seperti Salwa Eid Naser dari Bahrain yang menghuni ranking pertama Asia dan keempat dunia.
Wakil Uzbekistan, Jonbibi Hukmova di ranking ke-47 dunia serta pelari tuan rumah Jepun, Nanako Matsumoto di kedudukan ke-57 dunia turut dijangka menguji kemampuan Shereen.
Penyelaras Program Kejurulatihan Olahraga Malaysia (MA), Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, peluang Shereen untuk mencabar kelompok hadapan tetap terbuka, namun prestasi pada hari pertandingan menjadi penentu.
“Peluang Shereen memang ada, tetapi kita perlu lihat apa yang berlaku dalam pertandingan nanti.
“Berdasarkan catatan masa Shereen tahun ini, dia berada dalam kelompok 52 saat dan mungkin menduduki tempat kelima atau keenam dari segi catatan masa. Bagaimanapun, apa sahaja boleh berlaku dalam temasya seperti ini,” katanya.
Selain Shereen, Umar Osman turut turun dalam 400m lelaki dan berdepan antaranya wakil tuan rumah, Yuki Joseph Nakajima yang menduduki ranking pertama Asia serta Ammar Ibrahim dari Qatar di tempat kedua Asia.
Dalam acara balingan, Sadat Marzuqi Ajisan yang beraksi dalam tukul besi lelaki serta Nani Sahirah Maryata bagi lontar peluru wanita turut melengkapkan cabaran olahraga negara hari ini. – UTUSAN

