London: Seorang pelajar pascasiswazah yang didapati bersalah kerana merogol 10 wanita di United Kingdom (UK) dan China serta disyaki menyerang lebih ramai lagi dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di sini, pada Khamis.
Polis London berkata, mereka mempunyai bukti yang menunjukkan suspek dipercayai menyasarkan lebih 50 wanita lain.
Perogol bersiri, Zhenhou Zou, 28, digambarkan di mahkamah sebagai ‘berhati dingin dan pemangsa’ mensasarkan wanita muda warga China yang diundang ke apartmennya di London untuk minum atau belajar sebelum meracun dan merogol mereka.
Dalam sesi hukuman di Mahkamah Mahkota Inner London, Hakim Rosina Cottage berkata, tiada keraguan bahawa Zou ‘merancang dan melaksanakan satu kempen rogol’ yang menyebabkan kesan yang dahsyat dan berpanjangan.
“Kepada dunia luar, Zou kelihatan berpendidikan, bercita-cita tinggi dan menawan, tetapi itu hanyalah topeng yang menyorokkan seorang pemangsa seksual.
“Beliau memperlakukan mangsa-mangsanya dengan kejam sebagai ‘alat pemuas nafsu’ dan keinginannya untuk menunjukkan kuasa dan kawalan terhadap wanita menjadikannya ancaman untuk tempoh yang tidak dapat ditentukan,” kata hakim.
Zou yang memakai sut gelap dan berkaca mata mendengar keputusan hukuman di kandang tertuduh melalui penterjemah tanpa menunjukkan sebarang emosi.
Dia akan menjalani minimum 22 tahun penjara dengan mengambil kira masa yang diluangkan dalam tahanan.
Bekas pelajar kejuruteraan di University College London itu didapati bersalah oleh juri pada Mac lalu atas 28 kesalahan termasuk 11 tuduhan rogol dengan dua daripadanya membabitkan seorang wanita yang sama, manakala tiga lagi tuduhan mengintai secara seksual serta satu tuduhan penahanan secara salah.
Dia didapati bersalah merogol tiga wanita di London dan tujuh di China antara 2019 dan 2023. Zou turut disabitkan dengan tiga tuduhan memiliki bahan kimia butanediol iaitu pelarut industri dengan niat untuk melakukan jenayah seksual dan 10 tuduhan memiliki imej pornografi ekstrem.
Mangsa-mangsa memberi kenyataan kesan impak semasa sesi hukuman, menceritakan trauma psikologi yang mereka alami termasuk mimpi ngeri, menyakiti diri sendiri dan perasaan putus asa serta terasing.
Seorang mangsa berkata, dia terasa seperti haiwan terperangkap yang mencari jalan keluar selepas diserang.
“Apa yang berlaku malam itu terukir dalam jiwa saya selama-lamanya,” katanya sambil menambah bahawa keluarga Zou ‘amat berpengaruh di China’ dan dia takut lelaki itu akan ‘membalas dendam’.
Sejak sabitan Zou, dan susulan rayuan antarabangsa oleh polis UK, kira-kira 24 wanita tampil menyatakan mereka mungkin diserang secara seksual oleh lelaki terbabit.
Polis Metropolitan London menyatakan bahawa mereka mempunyai bukti menunjukkan Zou mungkin mensasarkan lebih 50 wanita.
© New Straits Times Press (M) Bhd