Ipoh: Kerajaan disarankan untuk menawarkan insentif yang sesuai kepada syarikat, terutamanya perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) yang mungkin terkesan dengan pelaksanaan gaji minimum pekerja sebanyak RM1,700 pada 1 Februari 2025.
Ketua Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Prof Madya Dr Zainizam Zakariya berkata, walaupun kenaikan gaji minimum ini memberi manfaat kepada pekerja, ia juga membawa kesan terhadap pelbagai aspek dari sudut mikro dan makro ekonomi.
Beliau berkata, kerajaan boleh mempertimbang beberapa insentif seperti pengurangan cukai korporat membantu majikan menampung peningkatan kos gaji, menawarkan insentif kewangan atau bantuan untuk PMKS yang terkesan oleh pelaksanaan gaji minimum itu.
“Langkah seperti ini dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Australia, Singapura dan Sweden. Contohnya, Wage Subsidy Programme di Singapura membantu majikan dengan memberikan subsidi kepada syarikat yang mengambil pekerja berpendapatan rendah.
“Kajian oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menunjukkan bahawa program subsidi gaji dapat membantu syarikat mengurangkan kos tanpa mengurangkan tenaga kerja,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Selain itu, Zainizam turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan skim latihan bersubsidi untuk membantu pekerja meningkatkan kemahiran, serta menawarkan geran atau pinjaman berkadar rendah bagi membantu syarikat mengadaptasi teknologi baharu, seperti yang dilaksanakan di Sweden.
“Majikan di sektor pertanian, perkilangan, dan pembinaan khususnya bimbang tidak dapat mengekalkan jumlah pekerja yang sama akibat kos buruh yang meningkat.
“Ini berpotensi menyebabkan pemberhentian pekerja atau pengurangan waktu bekerja bagi menampung kos operasi yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa PMKS mungkin akan kurang melabur dalam inovasi atau usaha meningkatkan produktiviti kerana lebih fokus kepada pengurangan kos jangka pendek untuk memastikan kelangsungan perniagaan.
Katanya, ini seterusnya boleh menghalang pertumbuhan jangka panjang dan melemahkan daya saing mereka di peringkat global.
© New Straits Times Press (M) Bhd
