05 April 2026 11:09pm
Masa membaca: 4 minit

PRCS memindahkan pesakit dari Semenanjung Gaza melalui lintasan Rafah pada Ahad sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan berterusan untuk mendapatkan rawatan di luar negara – Foto Bernama
GAZA – Pasukan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) memindahkan pesakit dari Semenanjung Gaza melalui lintasan Rafah pada Ahad sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan berterusan untuk mendapatkan rawatan di luar negara bagi kes yang memerlukan penjagaan di luar wilayah itu, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Pemindahan itu melibatkan 17 pesakit, diiringi 33 pengiring, yang meninggalkan wilayah berkenaan dari Hospital Pemulihan Perubatan PRCS di Khan Younis menuju ke lintasan Rafah sebagai persediaan untuk dipindahkan ke luar negara bagi menerima rawatan diperlukan, dengan penyelarasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkuasa berkaitan lain.
PRCS menegaskan bahawa penyertaannya dalam pemindahan perubatan itu adalah sebahagian daripada peranan kemanusiaannya dalam menyokong pesakit dan mereka yang cedera serta memudahkan akses kepada perkhidmatan perubatan, khususnya ketika kemudahan kesihatan di Semenanjung Gaza berdepan tekanan yang semakin meningkat dan keperluan berterusan untuk memindahkan sebahagian kes ke hospital di luar negara. – Bernama


