Pesan makanan untuk rakyat di Indonesia, kebaikan orang Malaysia raih pujian

Pesan makanan untuk rakyat di Indonesia, kebaikan orang Malaysia raih pujian

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pergolakan yang berlaku di Indonesia ketika ini turut mengundang reaksi rakyat Malaysia yang turut bersedih dengan situasi yang menimpa negara jiran itu.

Tidak cukup menzahirkan solidariti atas nama persaudaraan serumpun sambil berharap situasi kembali tenang, ada rakyat Malaysia yang lebih prihatin tampil membantu dengan cara membuat pesanan di aplikasi penghantaran makanan.

Dengan menukar tetapan lokasi di bandar utama Indonesia, makanan kemudian dipesan bukan untuk dinikmati sendiri tetapi disedekahkan kepada rakyat Indonesia yang terkesan termasuk kepada penghantar makanan.

Menerusi perkongsian di Threads, pengguna bernama @larasatipusparasa mendedahkan ramai rakyat Malaysia mengambil peluang membantu Indonesia dengan membuat pesanan makanan melalui aplikasi Grab dan Ojek dalam talian (ojol).

“For all Malaysian, thank you so much (Untuk semua rakyat Malaysia, terima kasih banyak-banyak). MasyaAllah Tabrakallah. I (Saya) rasa terharu gila tgk (tengok) korg (korang) order (pesan) Grab belikan makanan.

“Semoga kebaikan korg (korang) dibalas berlipat ganda oleh Allah SWT, Aamiin ya Rab. Love you lots,” katanya.

Sementara itu, menerusi beberapa perkongsian di Thread pula menunjukkan beberapa tangkap layar dikongsikan menunjukkan keprihatinan rakyat Malaysia yang membantu dengan memesan makanan untuk rakyat di Indonesia.

Antaranya, ada memesan nasi goreng berjumlah 102,000 rupiah (kira-kira RM25) bersama pesanan ‘Tak perlu dihantar, makanlah sendiri atau bahagi (kongsi) dengan teman.’

Tunjuk perasaan di Jakarta bermula sejak minggu lalu, sebagai menyuarakan bantahan terhadap dasar kerajaan termasuk membantah kenaikan elaun perumahan Ahli Parlimen mencecah 50 juta rupiah (kira-kira RM13,000) sebulan dan dasar kerajaan dikatakan membebankan seperti kenaikan kos sara hidup, penarikan subsidi tertentu, pemecatan besar-besaran dan cukai hartanah yang tinggi.

Ia kemudian merebak ke bandar lain dan menjadi lebih agresif susulan kematian penunggang Ojek, Affan Kurniawan yang dilanggar kenderaan polis semasa demonstrasi di Jakarta.

Protes besar-besaran itu menyebabkan enam terbunuh setakat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top