Pesara kerajaan Sabah terima bonus RM1,000

Pesara kerajaan Sabah terima bonus RM1,000

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kira-kira 13,000 pesara kerajaan Sabah bakal menerima bonus sebanyak RM1,000 yang akan dibayar sebelum sambutan Aidilfitri tahun depan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata insentif kewangan itu selaras pembayaran khas kepada penjawat awam negeri yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan Sabah 2025, baru-baru ini.

Katanya, bayaran itu sebagai tabda kerajaan negeri tidak melupakan sumbangan pesara yang banyak menyumbang bakti kepada negeri sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

“Kerajaan negeri akan memberi bonus RM1,000 kepada semua pesara kerajaan negeri Sabah yang akan kita bayar sebelum Aidilfitri tahun depan.

“Sebelum ini kita sudah umumkan bayaran bonus kepada penjawat awam negeri iaitu minimum RM3,000 yang akan kita bayar pada tahun depan.

“Jadi, saya rasa tidak adil bagi pesara kerajaan yang banyak memberi khidmat bakti kepada negeri jika kita tidak beri (bonus).

“Kerana itulah saya ingin umumkan di sini, kita akan beri bonus kepada setiap pesara kerajaan negeri sebanyak RM1,000 seorang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah (KOPEKS), di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji mahu KOPEKS yang dianggotai penjawat awam di negeri ini merancang perniagaan baharu atau mempelbagaikan lagi perniagaan koperasi bagi menghadapi cabaran masa kini.

“Jaringan kerjasama dengan agensi perniagaan lain juga perlu dijalin dengan baik serta mengekalkan tahap tadbir urus yang baik dan amanah dalam koperasi.

“Saya dimaklumkan pada 2023 KOPEKS telah menyediakan pelan strategi perniagaan bagi 2024-2026 yang meliputi bidang perniagaan, pelaburan dan pembangunan perniagaan baharu.

“Ini termasuk usaha KOPEKS membangunkan dua bidang tanah yang sedia ada masing-masing di Manggatal dan Lahad Datu untuk perumahan yang boleh dibeli oleh ahli dan orang ramai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top