luqman.arif@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan supaya Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, tahun ini diaraikan dalam norma baharu.
Perdana Menteri berkata kedua-dua perayaan itu masih dapat disambut bersama ahli keluarga di rumah dengan suasana yang ceria.
Bagi membendung penularan jangkitan COVID-19, beliau meminta supaya orang ramai tidak meninggalkan rumah kecuali atas urusan yang penting buat masa ini.
“Esok, masyarakat Kadazandusun di Sabah akan menyambut Pesta Kaamatan sebelum disusuli sambutan Hari Gawai oleh komuniti Dayak di Sarawak, dua hari selepas itu.
“Kedua-dua perayaan ini disambut sebagai tanda kesyukuran di atas kurniaan rezeki selepas berakhirnya musim menuai. Sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini tentunya diraikan dalam suasana berbeza berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuat kuasa dalam usaha kita membendung peningkatan kes jangkitan COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Memahami perasaan sedih dalam kalangan masyarakat Kadazandusun dan Dayak, Muhyiddin menjelaskan semua tindakan dan larangan ditetapkan kerajaan seperti tidak membenarkan aktiviti kunjung-mengunjungi semasa sambutan adalah semata-mata demi menjauhkan rakyat daripada terus dijangkiti wabak COVID-19.
Walaupun tidak berpeluang meraikannya seperti tahun-tahun lalu, katanya, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kali ini diharap berupaya mengukuhkan iltizam masyarakat untuk mengharungi segala cabaran dan dugaan demi kemakmuran bersama serta masa depan negara yang lebih cerah.
“Selamat Menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021. Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan. Gayu Guru Gerai Nyamai (semoga panjang umur dan beroleh kesihatan yang baik),” katanya sambil menggunakan tanda pagar, #LockdownKendiri serta #SelfLockdown.
© New Straits Times Press (M) Bhd




