mdroji@bh.com.my
Kuching: Pasukan petanque Sarawak melepasi sasaran tiga emas apabila meraih satu lagi pingat emas bagi acara itu di Arena Petanque Sarawak di Santubong, di sini, malam ini.
Pingat emas keempat itu diperolehi menerusi pasangan beregu campuran, Akhtar Shauqi Aini Mohd Dom dan Nur Durratul Sahira Yazit.
Mereka menewaskan pasangan Perak, Mohamad Yusman Haizad Mohamad Yusof dan Nur Zafirah Zafri dengan kiraan 13-9 dalam saingan yang berakhir pada jam 7.30 malam.
Pingat gangsa acara itu dimenangi Selangor menerusi gandingan Muhamad Arif Irfan Zainudin dan Nur Alya Farzana Rushazlir Effeny.
Bagi acara beregu lelaki, Selangor meraih pingat emas menerusi Mohamad Aiman Fitri Mohd Fauzi dan Muhamad Idham Shahrulzahri; perak dimenangi Perlis menerusi Muhamad Irfan Burhanudin dan Muhamad Irfan Hakimi Ismail manakala Pulau Pinang meraih gangsa menerusi Muhamad Aidil Zakri Junaidi dan Muhamad Safwan Alif Abdullah.
Kontinjen Perak pula meraih pingat emas beregu wanita menerusi Carmila Nadhirah Mohd Noor dan Nurshafinaz Mohd Nor Hisyam, perak dimenangi Sarawak menerusi Ain Afzan Ezlan dan Sharifah Daniamal Yana Wan Deros manakala Negeri Sembilan meraih gangsa menerusi Putri Nurfarieyna Mohd Farid dan Qisya Qistina Noraimy Halimy.
Sementara itu Akhtar Shauqi, 17, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA di Kemboja 2023 berkata, beliau puas dapat menyumbang pingat emas buat Sarawak dalam penyertaan keduanya pada temasya Sukma.
“Pada Sukma di Kuala Lumpur pada 2022, saya meraih pingat gangsa dan rezeki saya disenarai dalam pasukan kebangsaan selepas itu untuk saingan Sukan SEA di Kemboja.
“Memang puas dengan kemenangan ini dan saya berazam untuk terus menyumbang kepada Sarawak dalam dua edisi Sukma akan datang,” katanya.
Nur Durratul, 21, yang juga graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) pula berkata, kemenangan dalam penyertaan terakhirnya pada Sukma cukup bermakna kerana ia diraih di kampungnya sendiri.
“Saya dilahir dan membesar di Kampung Santubong dan kebetulan pula Arena Petanque ini terletak di kampung saya.
“Saya beraksi sehabis baik di hadapan ibu bapa, keluarga serta penduduk kampung dan syukur kerana saya berjaya menghadiahkan pingat emas untuk Sarawak dan semua penduduk Kampung Santubong yang mendoakan kejayaan saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
