Petronas Chemicals pacu ketahanan operasi, komersial untuk tingkat pertumbuhan

Petronas Chemicals pacu ketahanan operasi, komersial untuk tingkat pertumbuhan

Kuala Lumpur: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) sedang menggandakan operasi dan kecemerlangan komersial serta memberi tumpuan kepada keselamatan, pengoptimuman loji dan kebolehpercayaan aset bagi mengukuhkan daya tahannya.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mazuin Ismail berkata pengeluar bahan kimia bersepadu itu terus beroperasi dalam pasaran global yang semakin tidak menentu, ketegangan perdagangan yang memuncak dan ketidaktentuan pasaran yang berterusan.

“Walaupun kami melihat terdapat beberapa peningkatan dalam harga komoditi dan pemulihan yang sederhana dalam permintaan bahan kimia khusus pada suku pertama 2025, prospek keseluruhan kekal berhati-hati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Mazuin berkata PCG terus dengan disiplin kewangan yang ketat dan perbelanjaan modal yang berhemat.

Beliau berkata strategi pertumbuhan syarikat tertumpu kepada pembinaan projek yang sudah dirancang sebagai tindak balas kepada dinamik industri yang berkembang, sambil memanfaatkan rangkaian inovasi global untuk menyampaikan penyelesaian termaju.

“Menerusi usaha itu, PCG kekal komited kepada pembentukan nilai jangka panjang bagi pihak berkepentingan dan terus berdaya saing dalam persekitaran yang semakin mencabar,” kata Mazuin.

Hari ini, PCG mengadakan mesyuarat agung tahunan ke-27 bagi membentangkan prestasi syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TH2024) kepada pemegang saham.

Keuntungan bersih PCG merosot kepada RM1.175 bilion pada TH2024 daripada RM1.696 bilion pada tahun sebelumnya, sejajar dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) yang lebih rendah serta kerugian daripada syarikat bersekutu dan usaha samanya.

Perolehan bagi tahun itu meningkat kepada RM30.67 bilion berbanding RM28.67 bilion tahun ke tahun berikutan pertumbuhan nilai jualan merentasi tiga segmen perniagaannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top