Petronas Grand Prix Malaysia 2022 bakal gegar Litar Sepang

KUALA LUMPUR – Selepas dua tahun sunyi akibat pandemik Covid-19, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal bergema semula dengan deruman enjin motosikal berkuasa tinggi dengan kembalinya Petronas Grand Prix Malaysia 2022.

Sukan permotoran antarabangsa edisi ke-23 dan yang tertua di Malaysia itu akan berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober depan.

Untuk edisi kali ini, pelumba muda, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali  sebagai Damok yang berusia 21 tahun akan beraksi atas tiket wild card dalam kelas Moto3.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melancarkan gimik ketika Majlis Pelancaran Grand Prix Malaysia Petronas 2022 di Dewan Filharmonik Petronas KLCC, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 16 OGOS 2022.

Majlis pelancaran penganjuran sukan permotoran berprestij itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu di Dewan Filharmonik Menara Berkembar Petronas hari ini.

Sukan edisi ke-23 itu menyaksikan Petronas selaku penaja utama memeterai perjanjian dengan pemegang hak perlumbaan MotoGP™, Dorna Sports pada awal tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azhan Shafriman Hanif berkata, tahun ini kali pertama Petronas menjadi penaja utama GP Malaysia dan sudah bersiap sedia menyambut peminat sukan pemotoran tempatan dan antarabangsa ke SIC.

“Kita akan memastikan kualiti GP Malaysia kali ini berada pada tahap tinggi dan kami juga optimis berdasarkan persiapan rapi yang telah dilakukan sejak awal tahun ini, mampu menarik lebih 170,000 penonton ke Litar Sepang pada hari perlumbaan bermula 21 Oktober nanti.

“Dengan keadaan tiada pelumba Malaysia yang bersaing sepenuhnya musim ini, saya percaya penyertaan Damok akan mendapat sokongan peminat,” katanya dalam sidang media pelancaran tersebut.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bergambar bersama pelumba negara Syarifuddin Azman ketika Majlis Pelancaran Grand Prix Malaysia Petronas 2022 di Dewan Filharmonik Petronas KLCC, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 16 OGOS 2022.

Tambah beliau, beberapa aktiviti luar trek turut dianjurkan pada minggu perlumbaan untuk menarik perhatian lebih ramai peminat sukan permotoran di tempatan dan antarabangsa.

Malah para peminat  kali ini boleh melepaskan kerinduan dengan  bertemu pelumba bertaraf antarabangsa dan mendapatkan tandatangan mereka dalam sesi pertemuan khas bersama pelumba yang dianjurkan pada 21 Oktober ini nanti.

Manakala program yang bakal mencuri tumpuan peminat pada MalaysianGP2022 adalah Peraduan Cabutan Bertuah Mega yang membolehkan dua pemenang bertuah akan membawa pulang motosikal Yamaha NVX dan Y15ZR edisi terhad SIC yang bernilai RM22,000.

Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos ini, SIC juga akan menawarkan promosi tiket perlumbaan yang boleh dibeli menerusi laman web rasmi SIC www.sepangcircuit.com. – MalaysiaGazette