Berski turun Everest tanpa oksigen

syazrina@hmetro.com.my

Kathmandu: Pemain ski yang juga pendaki gunung dari Poland, Andrzej Bargiel melakar sejarah dunia pada September 2025 apabila menjadi individu pertama mendaki Gunung Everest tanpa menggunakan tangki oksigen sebelum bermain ski untuk menuruni gunung berkenaan.

Bargiel berjaya menawan Everest, gunung tertinggi di dunia dengan ketinggian 8,849 meter (m), pada percubaan ketiganya, selepas keadaan berbahaya memaksanya membatalkan ekspedisi terdahulu pada 2019 dan 2022.

Lebih 6,000 orang sudah mendaki Everest, namun kurang daripada 200 pernah melakukannya tanpa bantuan tangki oksigen. Namun, bermain ski tanpa oksigen untuk menuruni gunung itu adalah sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Selepas 16 jam mendaki kawasan dikenali sebagai ‘Zon Maut’ di Everest, iaitu kawasan pada ketinggian lebih 8,000 m, Bargiel tiba di puncak dunia itu pada 3 petang waktu tempatan 22 September 2025.

Di Zon Maut, udaranya sangat nipis sehingga pendaki hanya mendapat kira-kira satu pertiga daripada oksigen yang terdapat di paras laut. Ini boleh menyebabkan kerosakan otak, cecair di dalam paru-paru, dan juga kematian.

“Pendakian itu sukar kerana ekspedisi (pendakian) lain ditutup pada tempoh ini…lebih banyak kerja diperlukan dan keadaannya jauh lebih sukar,” katanya ketika berkongsi pengalamannya melaksanakan misi berbahaya itu.

Kebanyakan pendakian Everest dilakukan pada musim bunga (April–Mei) apabila beratus-ratus pendaki komersial memenuhi gunung itu. Bargiel pula melakukan pendakian pada musim luruh.

Beberapa minit selepas di puncak, beliau memasang peralatan ski dan memulakan penurunan melalui Laluan South Col.

Difahamkan, beliau tiba di Kem II pada malam itu dan berehat selepas pendakian ke puncak mengambil masa lebih lama daripada dirancang. Selain itu, keadaan gelap menjadikan perjalanan seterusnya berbahaya dan sukar untuk dinavigasi.

Keesokan paginya, Bargiel bermain ski merentasi Khumbu Icefall yang dipenuhi menara ais dan rekahan dalam serta dikenali sebagai antara bahagian paling berbahaya di Everest, sebelum selamat tiba di Kem Induk pada pagi 23 September 2025.

Sebahagian perjalanannya merentasi kawasan berbahaya itu dibimbing menggunakan dron yang diterbangkan abangnya, Bartek, lapor Guardian.

“Saya membahagikan penurunan itu kepada dua bahagian kerana menavigasi Icefall yang mencabar daripada segi teknikal dalam keadaan yang agak selamat hanya boleh dilakukan pada waktu pagi,” katanya.

Bargiel berkata, bermain ski turun dari Everest tanpa oksigen adalah impian selama bertahun-tahun.

“Ia antara pencapaian paling penting dalam kerjaya sukan saya, bermain ski turun dari Everest tanpa oksigen adalah impian yang sudah lama berkembang dalam diri saya selama bertahun-tahun,” katanya seperti disiarkan menerusi portal Red Bull.

Memetik portal sama, dengan kejayaan itu, Bargiel kini menjadi satu-satunya pendaki gunung dalam sejarah yang bermain ski turun dari Everest dan puncak K2 (di Pakistan), selain semua puncak berketinggian 8,000 m di Banjaran Karakoram, semuanya tanpa oksigen tambahan.

Pencapaiannya itu dipuji sebagai satu kejayaan besar dalam ketahanan manusia, pendakian gunung dan sukan ski ekstrem, selain membuktikan sejauh mana keazaman, latihan dan ketahanan mampu mendorong had kemampuan manusia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top