puterialia@hmetro.com.my
Meskipun industri muzik K-Pop kini rancak dipelopori gelombang generasi keempat dan kelima, legasi utuh yang dibina sejak penubuhan kumpulan ikonik T-Ara pada 2009 terbukti tidak pernah luput ditelan zaman.
Bukti itu terserlah apabila kumpulan terkemuka berkenaan membuktikan kemampuan mereka menerusi persembahan penuh bertenaga di Mega Star Arena menerusi acara T-Ara Fan-Con in Malaysia 2026 (Summer Again) yang diadakan pada 9 Ogos lalu.
Gelombang nostalgia terus melanda dewan berkenaan apabila empat anggotanya iaitu Qri, Eunjung, Hyomin dan Jiyeon beraksi di hadapan lebih 1,000 peminat setianya yang dikenali sebagai Queens, sekali gus membuktikan mereka masih bertapak di hati peminat Malaysia.
Kehangatan acara itu sudah bermula lebih awal apabila Kompleks Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur dibanjiri ribuan Queens beberapa jam sebelum tirai acara dibuka.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati terdapat Queens yang hadir dengan membawa poster kumpulan itu serta kepingan ‘photocard’.
Bagi Queens yang hadir, penantian penuh debaran selama sedekad ini dianggap sebagai mesin masa bagi mengimbau kenangan lalu.
Suasana mula bergema dengan sorakan peminat apabila tepat jam 6 petang lagu ikonik ‘Sugar Free’ mula bergema, disusuli dengan kemunculan anggota kumpulan T-Ara dalam persalinan tema musim panas menerusi lagu hit Number 9 disusuli sorakan penonton.
Ini sekali gus mengimbau momen indah di Malaysia apabila Hyomin menyambut ulang tahun kelahirannya di negara ini bersama peminat selain Eunjung secara terbuka menyatakan kecintaannya terhadap makanan dan minuman di Malaysia seperti mi ikan serta teh tarik.
Menyusuli perjumpaan peminat tahun lalu, T-Ara meluahkan rasa gembira dan bahagia apabila dapat bertemu semula dengan peminat, sambil menjelaskan acara Summer Again dianggap sebagai pertemuan semula bagaikan musim panas indah yang kembali menjelma.
T-Ara yang mengenakan pakaian berwarna merah dan putih turut menganggap pertemuan bersama Queens kali ini lebih mesra serta istimewa kerana dapat berinteraksi secara bersemuka dari jarak yang lebih dekat.
Ruang acara bertukar riuh dengan sorakan apabila anggota T-Ara mula berinteraksi secara ceria sambil melaungkan ungkapan bahasa Melayu yang dipelajari sendiri untuk mendekati peminat seperti ‘rindu korang’, ‘memang best’, ‘sayang korang’ dan ‘enjoy show hari ini’.
Acara ini bukan sekadar pertemuan peminat apabila T-Ara turut mempersembahkan beberapa lagu ikonik mereka seperti Sexy Love dan lagu rancak iaitu Bo Peep Bo Peep.
Dalam pada itu, kemeriahan segmen interaksi bersama peminat turut ditonjolkan dalam acara ini apabila terdapat segmen ‘Lucky Queens Complete Our Hearts’ yang memberi peluang keemasan kepada peminat untuk membuat simbol hati bersama ahli kumpulan T-Ara yang dipaparkan di layar skrin.
Tidak ketinggalan, peminat bertuah turut berpeluang berinteraksi secara jarak jauh dengan anggota T-Ara.
Bukan itu sahaja, suasana acara bertambah meriah apabila peminat turut diberikan ruang meluahkan rasa teruja dengan menonjolkan bakat menari masing-masing apabila beberapa lagu popular T-Ara dipasang sambil diperhatikan kumpulan T-Ara di belakang pentas.
Selesai berinteraksi bersama peminat, sebelum mempersembahkan lagu Falling U, T-Ara sempat berkongsi apabila mereka banyak mengingati peminat mereka ketika berlatih bersungguh-sungguh untuk acara ini selain meluahkan rasa gembira kerana dapat beraksi dengan baik di Malaysia selepas sekian lama.
Menurut T-Ara, penganjuran acara seperti itu memberi ruang buat mereka untuk menikmati lagu balada bersama peminat di negara ini.
Menjelang penghujung acara berkenaan, tayangan video kejutan yang memaparkan perjalanan karier T-Ara dimainkan sehingga anggota kumpulan berkenaan dilihat tersentuh sebelum disambung dengan nyanyian acapella lagu Tiamo secara serentak dan penuh syahdu bersama peminat.
Acara itu ditutup dengan sorakan peminat dengan lautan cahaya berwarna kuning sewaktu lagu malar segar Roly-Poly dan versi Korea lagu So Crazy dinyanyikan dengan penuh bertenaga.
Pernah merangkul pelbagai anugerah berprestij seperti Golden Disc Awards, Seoul Music Awards dan Melon Music Awards, kehadiran T-Ara menjadi bukti kukuh bahawa ikatan akrab antara mereka dengan peminat kekal utuh merentasi masa.
© New Straits Times Press (M) Bhd
