Putrajaya: Mahkamah Rayuan memutuskan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak melanggar perjanjian bekalan gas dengan Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd dan Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam memberikan injunksi yang memaksa syarikat itu untuk meneruskan pembekalan gas.
Hakim Datuk Wong Kian Kheong dalam penghakimannya berkata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi gagal mempertimbangkan Seksyen 53 Akta Relief Spesifik 1950, yang menghendaki Shell MDS membuktikan bahawa Petronas telah melanggar perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua syarikat terbabit.
“Dalam kes ini, perjanjian antara Petronas dan Shell MDS tidak dilanggar.
“Sebaliknya, Petronas telah mematuhi perjanjian berkenaan sepanjang masa yang berkaitan,” katanya.
Wong berkata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Arziah Apandi hanya boleh menggunakan budi bicaranya untuk memberikan injunksi mandatori interlokutori (bekalan gas asli) sekiranya Shell MDS dapat membuktikan kes yang “luar biasa kukuh dan jelas” terhadap Petronas.
“Kami tidak berpuas hati bahawa responden pertama (Shell MDS) telah memenuhi prasyarat ketat bagi kes “luar biasa kukuh dan jelas” terhadap perayu (Petronas) yang boleh membenarkan Mahkamah Tinggi memberikan injunksi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




