PFA persoal permit kerja Holland, sedia cabar keputusan FAM di mahkamah

PFA persoal permit kerja Holland, sedia cabar keputusan FAM di mahkamah

sukan@hmetro.com.my

Kangar: Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) akan memohon kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk memeriksa kewujudan permit kerja bekas Pengarah PFA, Matt Holland yang dilantik semasa kepimpinan terdahulu pada 2019 dahulu.

Ini selepas persatuan itu mengesyaki bahawa bekas pemain Swansea City FC tidak mempunyai permit bekerja di negara ini ketika ditawarkan jawatan berkenaan oleh Presiden PFA ketika itu, Allahyarham Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.

Ia membawa kepada penggantungan PFA sebagai ahli gabungan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akibat kegagalan membayar gaji tertunggak serta pampasan kepada warga Britain berkenaan.

Presiden PFA, Zamri Ibrahim berkata, pihaknya sudah pun secara rasmi menerima surat penggantungan sebagai ahli gabungan FAM pada Khamis dan mereka sedang meneliti kandungan surat penggantungan serta dokumen berkaitan untuk mencabar keputusan FAM itu yang dianggap tidak adil bagi persatuan bola sepak negeri itu.

“Tindakan yang akan kita (PFA) ambil adalah memeriksa bersama Imigresen sama ada Holland ini mempunyai permit kerja atau tidak ketika bertugas sebagai Pengarah Bolasepak PFA ketika itu dan sekiranya tiada di mana saya juga mengesyaki memang tiada (permit kerja), maka kita akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia serta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) sama ada tuntutan beliau (Holland) itu sah atau tidak.

“Dalam hal ini juga, saya tidak faham mengapa FAM secara tiba-tiba menggantung kita tanpa ada sebarang sesi pendengaran atau penjelasan daripada kita dan jika diikutkan Fifa tidak pernah memberi tindakan arahan menggantung PFA dan yang minta untuk kita digantung itu adalah Holland sendiri.

“Jadi bila Holland minta Fifa untuk menggantung kita, Fifa kemudian menghantar satu surat rasmi kepada saya berhubung tuntutan berkenaan dan saya ‘lawan balik’ dengan menghantar jawapan balas berserta penjelasan yang diberikan dan Fifa kemudian tidak pun menggantung kita atas penjelasan yang kita berikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, tanpa sebarang peluang diberikan, FAM dikatakan secara tiba-tiba tampil menggantung keahlian PFA sebagai ahli gabungan badan induk bola sepak negara itu.

“Tak semena-mena tanpa sebarang sesi penjelasan atau pendengaran terhadap kemelut berlaku, FAM pula tampil menggantung keahlian kita dan kita sedang meneliti surat penggantungan serta dokumen berkaitan isu ini malah sedikit masa lagi kita akan failkan kes di Mahkamah Tinggi Kangar untuk kita lawan balik keputusan FAM itu.

“Jika beliau (Holland) memang tidak ada permit kerja ketika itu jadi memang tidak sah tuntutan itu dan inilah perkara yang hendak saya perjelaskan ini di mana sekiranya Holland ini masih lagi mempunyai kontrak itu dan segala tuntutannya itu sepatutnya difailkan di negara ini dan bukannya terus pergi ke Fifa.

“Mana boleh terus pergi ke Fifa kerana ia perlu ada ‘step’ terutama dalam undang-undang statut ini di mana sekiranya benar dia ada menandatangani kontrak berkenaan dia perlu ke statut FAM, maknanya di sini adalah sekiranya jika beliau tidak dibayar gaji dan sebagainya, beliau perlu ‘complaint’ di sini dahulu dan bukan terus fail kes ini di Fifa kerana mereka tidak mempunyai kuasa pun,” katanya.

Zamri berkata, malah sekiranya Holland tidak memfailkan kesnya di negara ini maka FAM pun tidak ada bidang kuasa untuk menggantung PFA dan perkara ini yang sedang diteliti oleh pihaknya untuk dicabar di mahkamah selepas ini.

Pada 8 Januari 2019, PFA ketika itu di bawah Allahyarham Ahmad Amizal Shaifit melantik Holland sebagai Pengarah Bola Sepak Perlis FA yang baharu.

Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bola sepak di seluruh dunia dengan kerjaya yang cemerlang di Eropah, Amerika Syarikat, India, Thailand dan Australia dan Malaysia.

Beliau pernah berkhidmat bersama pasukan seperti Port FC dan Buriram United di Liga Thailand sebagai Penolong Jurulatih dan Pengurus Pembangunan Bola Sepak dan Pengarah Teknikal dan Penolong Jurulatih di Bengaluru FC di Liga India.

Selain itu, beliau juga mempunyai lesen kejurulatihan AFC Pro License.

Pada Rabu lalu, Jawatankuasa Eksekutif FAM bertindak menggantung PFA daripada menjadi ahli gabungan susulan kegagalan persatuan itu membayar gaji tertunggak serta pampasan kepada Holland yang menjawat jawatan sebagai pengarah bola sepak negeri itu sebelum ini.

Dalam Mesyuarat Eksekutif FAM kali ke-13 hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM, Saaran Nadaraja bersetuju untuk menggantung PFA daripada menjadi ahli gabungan FAM sehingga persatuan itu membuat bayaran penuh seperti diarahkan Fifa.

Ini adalah rentetan kegagalan PFA mematuhi arahan yang dikeluarkan untuk bayaran gaji tertunggak dan pampasan oleh Holland yang berjumlah RM998,000.

Malah sekiranya terus gagal untuk melunaskan pembayaran berkenaan, Fifa boleh mengenakan tindakan kepada FAM sebagai responden kedua yang boleh menyebabkan FAM dipertanggungjawabkan untuk membayar semua hutang PFA.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top