Piala Dunia 2026: Brazil jangan pandang Haiti sebelah mata

Piala Dunia 2026: Brazil jangan pandang Haiti sebelah mata

Basking Ridge: Pertahanan Brazil, Douglas Santos mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak menganggap pertemuan menentang Haiti sebagai laluan mudah meskipun berstatus juara dunia lima kali.

Selecao yang sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Maghribi dalam aksi pembukaan Kumpulan C kini berdepan misi wajib menang apabila menentang Haiti di Philadelphia, Jumaat ini.

“Kami tidak boleh bercakap seolah-olah ini Haiti dan kami akan menang dengan jaringan besar.

“Kami perlu berpijak di bumi nyata, merendah diri dan sedar bahawa tiga mata adalah perkara paling penting ketika ini,” katanya pada sidang media di Basking Ridge, New Jersey.

Haiti yang membuat penampilan pertama di Piala Dunia sejak 1974 memberi tentangan sengit sebelum tewas tipis 0-1 kepada Scotland dalam aksi pembukaan mereka di Boston.

“Mereka adalah pasukan yang kuat dari segi fizikal dan berdasarkan apa yang saya lihat ketika menentang Scotland, mereka sangat kompetitif.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar dan perkara pertama yang perlu kami fikirkan adalah untuk menang,” katanya.

Douglas Santos yang diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Maghribi turut mengakui Brazil perlu memperbaiki mutu permainan, khususnya di benteng pertahanan.

Brazil dibolosi sekurang-kurangnya satu gol dalam enam perlawanan terakhir mereka.

“Kami perlu bermain jauh lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, pemain berusia 32 tahun itu percaya tekanan dan kegelisahan yang mengiringi aksi pembukaan sudah mula reda dan Brazil mampu mempamerkan aksi lebih mantap dalam baki saingan.

“Terdapat banyak perlawanan yang sengit dan banyak keputusan seri.

“Jadi kami perlu bersedia dari sudut emosi dan fizikal untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Douglas Santos turut berharap Neymar dapat kembali cergas sepenuhnya selepas diketepikan hampir sebulan akibat kecederaan betis.

“Kami sentiasa mendoakan supaya dia kembali 100 peratus cergas kerana apabila berada pada tahap terbaik, dia mampu membantu kami dengan banyak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top