Piala Malaysia: Manzoor kembali latih Penang FC

Piala Malaysia: Manzoor kembali latih Penang FC

KUALA LUMPUR – Penolong jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid kembali diberi kepercayaan mengemudi pasukan bermula pada kempen Piala Malaysia hujung bulan ini.

Menerusi hantaran kelab itu di laman Facebook, pengendali, Datuk Zainal Abidin Hassan bersetuju untuk memberi ruang kepada Manzoor bermula pada perlawanan terakhir Liga Super berdepan Selangor FC di Stadium Bandaraya, Sabtu ini.

“Malah, pengurusan pasukan turut mempelawa penyokong untuk hadir ke stadium bagi aksi menentang Selangor pada Sabtu ini secara percuma.

“Ia adalah satu inisiatif daripada pengurusan pasukan bagi menghargai sokongan penyokong Harimau Kumbang sepanjang saingan musim ini.

Malah, tarikan utama perlawanan tersebut tentunya dengan kembalinya jurulatih kesayangan mereka, Manzoor yang bakal membuat ‘comeback’,” kata hantaran itu.

Manzoor merupakan pengendali yang membawa Penang FC kembali ke Liga Super 2021 dan menamatkan musim di tangga ketiga.

Namun beliau masih belum dapat mengemudi pasukan secara sepenuhnya disebabkan belum mendapat lesen Diploma Pro A dan dijangka selesai selepas musim 2023 melabuhkan tirainya.

Dalam pada itu, Penang FC turut mengucapkan penghargaan kepada Zainal yang sudi mengemudi pasukan sepanjang saingan liga musim ini.

Begitupun, prestasi pasukan dilihat sangat mengecewakan apabila merekodkan 15 kekalahan dengan hanya dua kali meraih tiga mata dan empat kali perlawanan berkesudahan dengan kedudukan seri.

Malah, Penang FC ketika ini berada di dasar Liga Super dengan hanya mengumpul 10 mata daripada 21 perlawanan dan akan menamatkan musim ini pada kedudukan tercorot. – MalaysiaGazette