Piala Trek Antarabangsa Hong Kong: Azizulhasni sambar dua emas

Piala Trek Antarabangsa Hong Kong: Azizulhasni sambar dua emas

Azizulhasni raih emas acara pecut dan keirin Piala Trek Antarabangsa Hong Kong di Velodrom Hong Kong hari ini.
– Foto FB Azizulhasni Awang

[DIKEMAS KINI] Jaguhberbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menampilkan kayuhan memukau apabila menyambar dua pingat emas pada Piala Trek Antarabangsa Hong Kong di Velodrom Hong Kong hari ini.

Azizulhasni meraih emas pertama dalam acara pecut selepas menewaskan pelumba Taiwan, Kang Shing Feng dalam aksi final.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut berjaya menjejakkan kaki di podium apabila menewaskan pelumba Korea Selatan, Kang Seojun dalam aksi penentuan tempat ketiga/ keempat.

Azizulhasni yang kini dalam misi memburu tiket Sukan Olimpik Paris 2024 terus menampilkan henjutan bertenaga apabila menyambar emas kedua menerusi acara kegemarannya, keirin.

Kecemerlangan The Pocket Rocketman itu turut diiringi dengan kemenangan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang meraih emas acara pecut dan perak (keirin).

Dalam saingan final, Nurul Izzah Izzati berjaya mengetepikan cabaran pelumba Korea Selatan, Park Jihae.

Seorang lagi pelumba muda wanita negara, Amber Yong turut cemerlang apabila membawa pulang pingat emas acara keirin junior.