PJJ diurus dengan baik mampu bangkit kehangatan kasih

PJJ diurus dengan baik mampu bangkit kehangatan kasih

asyikin.mat@hmetro.com.my

Selalunya tuntutan kerjaya menyebabkan pasangan suami isteri terpaksa ‘berpisah’ dan menjalani perhubungan jarak jauh (PJJ).

Situasi ini bukan mudah kerana ia menuntut kekuatan emosi kedua-dua pihak apabila berdepan kesedihan, kerinduan dan tekanan dalam hubungan.

Namun, di sebalik cabaran itu, ada juga pasangan yang mengakui lebih selesa PJJ, sama ada isteri mahupun suami.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan berbual dengan seorang rakan yang mengakui lebih selesa PJJ dengan suaminya yang kini bertugas di selatan tanah air.

Mungkin ada yang pelik apabila ada isteri yang memilih PJJ berbanding tinggal bersama.

Justeru, WM minggu ini mendapatkan pandangan kaunselor perkahwinan, Fadzli Aziz bagi mengupas senario ini daripada sudut emosi, komunikasi dan realiti kehidupan berumah tangga.

Fadzli berkata, pada asasnya, perkahwinan yang paling ideal ialah suami isteri tinggal bersama di bawah satu bumbung.

Menurutnya, ini kerana, mereka dapat merasai keindahan rumah tangga dan menikmati pengalaman hidup berkeluarga yang sebenar.

“Pilihan seorang isteri untuk PJJ adalah dipengaruhi oleh personaliti individu.

“PJJ tidak sesuai untuk semua orang dan hanya bagi individu yang berpersonaliti tertentu.

“Contoh, individu yang bahasa cintanya berteraskan sentuhan fizikal kebiasaannya sukar menerima PJJ kerana mereka memerlukan sentuhan sebagai pengukuh ikatan kasih sayang.

“Apabila tiada elemen ini, ia membuatkan hidupnya terasa kosong dan emosi mudah terganggu,” katanya.

Kata Fadzli, wanita yang mendirikan rumah tangga pada usia lewat 30-an akan berhadapan sedikit cabaran untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu bersuami kerana sudah terbiasa hidup sendirian dan berdikari.

“Apabila memasuki alam perkahwinan, maka bermula cabaran ini dan memerlukan ruang peribadi dengan cara PJJ.

“Sekiranya PJJ diuruskan dengan baik, ia boleh membangkitkan kehangatan dalam hubungan, menerbitkan rasa rindu dan meningkatkan kemesraan berbanding bertemu setiap hari,” katanya.

Fadzli berkata, antara kekurangan PJJ yang dihadapi pasangan berjauhan ialah bebanan mengurus rumah tangga dipikul satu pihak sahaja, sama ada suami atau isteri.

“Sekali gus, ia berpotensi menimbulkan tekanan dan ketidakseimbangan dalam hubungan,” katanya.

Menurut Fadzli, halangan komunikasi turut menjadi cabaran utama PJJ apabila pasangan tidak mengetahui situasi sebenar yang dihadapi pasangan yang bekerja.

“Kelewatan membalas mesej atau menjawab panggilan sering disalah tafsir, sekali gus boleh menimbulkan prasangka negatif dan salah faham,” katanya.

Fadzli berkata, kos perjalanan yang tinggi setiap kali pulang bertemu pasangan pada hujung minggu juga boleh menjadi tekanan kewangan rumah tangga.

“Selain itu, PJJ turut berisiko membuka ‘pintu’ kepada kecurangan. Ini kerana individu yang memerlukan sentuhan fizikal dan perhatian berterusan akan berasa sunyi.

“Lalu dia mencari ‘rakan’ bagi menghilangkan kesunyian pada awalnya, namun berakhir dengan percintaan,” katanya.

Fadzli menambah, hubungan intim adalah elemen penting dalam mengikat emosi dan kasih sayang antara suami isteri.

“Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan kes klien, banyak konflik rumah tangga berpunca daripada isu hubungan intim.

“Apabila keperluan hubungan intim tidak dipenuhi, pasangan boleh beranggapan tidak lagi disayangi dan tercetusnya konflik rumah tangga,” katanya.

Dalam pada itu, Fadzli berkata, pasangan PJJ perlu memastikan mereka mempunyai tempoh kehidupan berasingan yang jelas, bukan dibiarkan tanpa perancangan.

“Selain itu, perlu sentiasa periksa keadaan pasangan terutama daripada aspek emosi.

“Ada yang terpaksa menerima keadaan itu (PJJ) sedangkan tidak bahagia dan jika perkara ini dibiarkan tanpa penyelesaian, maka hubungan akan semakin renggang.

“Jika kedua-dua pihak bahagia dengan kehidupan PJJ, maka keadaan ini boleh diteruskan.

“Namun, pasangan berkaitan hendaklah memastikan tanggungjawab dilaksanakan sebaiknya, menjaga komunikasi dan diri sepanjang berjauhan agar tidak membuka ruang kepada masalah rumah tangga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top