KANGAR: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Perlis komited untuk terus memperkasakan kontraktor tempatan agar lebih berdaya saing dan mampu menjadi rakan strategik kerajaan dalam memacu pembangunan serta pertumbuhan ekonomi negeri.
Presiden PKMM, Datuk Rosdi Ab Aziz berkata, kontraktor Melayu juga perlu sentiasa meningkatkan kompetensi, profesionalisme dan keupayaan teknikal bagi memastikan mereka kekal relevan serta mampu merebut peluang disediakan oleh kerajaan dan sektor swasta.
Katanya, PKMM akan terus memainkan peranan sebagai platform memperjuangkan kepentingan kontraktor Melayu melalui program pembangunan kapasiti, latihan, perkongsian ilmu dan jaringan kerjasama strategik.
“Kita mahu melihat lebih ramai kontraktor tempatan berkembang dan mampu menyumbang secara langsung kepada pembangunan Perlis.
“Pada masa sama, PKMM amat berharap supaya kerajaan perlu lebih peka dan mengambil tindakan segera terutama dalam menangani isu-isu utama dalam sektor pembinaan seperti kenaikan kos pembinaan akibat kenaikan bahan bekalan terutama seperti kenaikan harga diesel.
“Setakat ini, kesemua kenaikan kos tersebut tertanggung oleh kontraktor. Situasi ini pastinya akan memberi kesan serius kepada kesempurnaan dan kelancaran projek untuk jangka sederhana dan panjang,” katanya sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PKMM Perlis kali ke-49 di sini hari ini.
Perasmian disempurnakan, Exco kerajaan negeri, Izizam Ibrahim yang mewakili Menteri Besar.
AGM tersebut menjadi medan penting untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan ahli serta merangka hala tuju persatuan bagi menghadapi cabaran industri pembinaan yang semakin dinamik.
Sementara itu, Rosdi menyeru seluruh ahli PKMM supaya terus bersatu, mengamalkan tadbir urus yang baik dan meningkatkan tahap integriti dalam melaksanakan setiap projek diamanahkan.
Dalam pada itu, Izizam berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai peranan yang dimainkan oleh kontraktor tempatan dalam menjayakan pelbagai projek pembangunan di negeri ini.
Katanya, walaupun Perlis merupakan sebuah negeri yang berdepan cabaran daripada segi sumber hasil, namun kerajaan negeri sentiasa berusaha mencari peluang baharu untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan menarik pelaburan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.
“Kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang cadangan, pandangan dan idea daripada PKMM serta pemain industri yang boleh membantu meningkatkan ekonomi negeri. Pintu sentiasa terbuka untuk berbincang dan meneroka peluang kerjasama demi kemajuan Perlis,” katanya.-UTUSAN




