Piala Dunia 2026: Erling Haaland mahu jadikan Iraq sebagai 'lauk'

Piala Dunia 2026: Erling Haaland mahu jadikan Iraq sebagai 'lauk'

Boston: Penyerang berbisa Norway, Erling Haaland bersedia untuk memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan misi besar apabila berdepan Iraq dalam aksi pembukaan Kumpulan I di Boston, Selasa ini.

Bintang Manchester City itu hadir sebagai antara penyerang paling digeruni dunia selepas meledak 16 gol dalam kempen kelayakan dan 27 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu, sekali gus menjadi sandaran utama Norway untuk mencipta impak di pentas dunia.

Norway yang kembali ke Piala Dunia selepas hampir tiga dekad turut diperkuatkan pemain tengah Arsenal, Martin Odegaard serta beberapa tonggak muda berbakat seperti Antonio Nusa dan Oscar Bobb.

Haaland yang turut mensasarkan anugerah Kasut Emas kejohanan menegaskan beliau mahu memulakan kempen dengan rentak kemenangan segera.

“Human goal machine Erling Haaland will seek to get his World Cup account up and running immediately,” menurut laporan Reuters.

Norway yang pernah dianggap antara kuasa besar bola sepak dunia pada era 1990-an kini kembali dengan misi mengembalikan reputasi mereka di pentas tertinggi selepas kali terakhir beraksi pada 1998.

Namun Iraq dijangka bukan lawan mudah apabila mereka turut kembali ke Piala Dunia selepas penantian 40 tahun, selain membawa semangat tinggi hasil laluan kelayakan yang panjang dan mencabar.

Skuad kendalian Graham Arnold itu dijangka mengharapkan ketajaman Aymen Hussein untuk menyaingi dominasi Haaland, di samping cuba memanfaatkan setiap peluang menerusi serangan balas.

Dalam masa sama, Iraq juga perlu berwaspada dengan disiplin permainan selepas beberapa isu kad merah dalam aksi pemanas badan sebelum kejohanan.

Perlawanan ini dijangka menjadi ujian awal penting buat kedua dua pasukan dalam Kumpulan I yang turut dihuni Senegal dan juara dunia Perancis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top