PENDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM2.8 juta kepada institusi pendidikan Islam di negeri ini.
Menurutnya, peruntukan berkenaan bertujuan membaik pulih infrastruktur asas membabitkan 14 buah institusi pendidikan di Kedah.
“Saya meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM2.8 juta untuk membaik pulih infrastruktur asas di 14 institusi pendidikan Islam di seluruh Negeri Kedah.
“Saya juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Pertubuhan Mujamma’ Ibnu Sunni Al-Talaqqi Pendang, Kedah (Mushtaq) bagi pelaksanaan Program Khatam Hadis Sunan Sittah serta Musthola Hadis sebagai usaha memperkasa pengajian dan kefahaman ilmu hadis dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Program Pendang Berselawat di Perkarangan Pondok Mushtaq di sini pada Jumaat.

Anwar berbincang sesuatu bersama Pengasas Pondok Mujamma’ Ibn Sunni Al-Talaqqi (Mushtaq) Tuan Guru Haji Abdul Rahim Abdul Rahman pada Majlis Maulid Akhbar Pendang. Foto Bernama
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli.
Katanya, semua peruntukan dan dana bantuan bagi projek pembangunan negeri akan diselaras sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Cawangan Kedah bagi memastikan agihan yang cekap dan telus.
Sebelum itu, Anwar tiba pada jam kira-kira 8 malam setelah selesai Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah di Dewan Kompleks Persekutuan Muadzam Shah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Alor Setar.



