Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tujuh inisiatif yang diumumkan sebelum ini bagi membantu warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), dilaksanakan dengan segera.
Anwar berkata beliau telah meminta laporan kemajuan berkaitan semua inisiatif, yang antaranya merangkumi bantuan kepada FELDA dan perumahan generasi baharu, disediakan setiap bulan supaya pelaksanaannya tidak tertangguh.
“Kita umumkan tujuh perkara itu saya dah beritahu Pengurus Besar (FELDA), saya nak ada laporan kemajuannya setiap bulan supaya tidak tertangguh.
“Kadang-kadang saya tak salahkan rakyat. Kita umum pelaksanaan itu orang bosan tunggu, jadi sebab itu nak tunggu lama, soal rumah kedua sekurang-kurangnya ada sebahagian yang kita selesaikan,” kata beliau.
Anwar berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Santai Perantau sempena 70 Tahun FELDA di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi FELDA Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.
Pada 7 Julai lepas, Perdana Menteri mengumumkan tujuh inisiatif sempena Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 FELDA, antaranya memperkasakan literasi digital kepada warga peneroka melibatkan peruntukan sebanyak RM15.85 juta kepada 317 rancangan FELDA yang layak.
Selain itu, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 370 sekolah rendah dan menengah di kawasan FELDA, manakala dana tambahan berjumlah RM3 juta disediakan bagi pasukan kesihatan Skuad MAYA FELDA.
Kerajaan juga bercadang meminda Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530), bagi membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka FELDA.
Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan Persekutuan sedia mempertimbangkan bantuan kewangan kepada kerajaan negeri, berkaitan projek pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka FELDA, termasuk bagi proses pemasangan elektrik dan air.
“Kalau ada masalah saya akan hubungi kerajaan negeri dan kalau ada satu dua kerajaan negeri ada masalah kewangan saya akan pertimbangkan, Kementerian Kewangan kaji di mana yang boleh kita bantu,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata beliau telah meminta Pengerusi FELDA memaklumkan Menteri Besar, Ketua Menteri serta Premier, berhubung kertas dasar yang akan menjadi keputusan dasar dalam tempoh sebulan, supaya semua kawasan perumahan FELDA diizinkan membina rumah kedua.
Mengenai pindaan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) yang dijangka dibentang di Parlimen sebelum akhir tahun ini, Anwar berkata kelulusan akta itu dapat menyelesaikan masalah yang tertangguh dari segi perundangan.
“Draf awal ada dan akan dibentang ke Lembaga Pengarah dan sebaik diluluskan saya akan segerakan untuk kelulusan jemaah menteri dan dibentangkan di Parlimen.
“Tetapi soal akta itu bukan masalah, kerana kalau kerajaan Persekutuan dan pengurusan FELDA setuju dan tidak dibantah oleh kerajaan negeri, beberapa program itu boleh dijalankan dulu walaupun akta itu tak dipinda,” kata Anwar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




