Maaedicare kukuh penjagaan kesihatan amal

Maaedicare kukuh penjagaan kesihatan amal

Kuala Lumpur : Hampir 770 pesakit dialisis aktif terus menerima rawatan menerusi 11 pusat dialisis amal di bawah Yayasan Kebajikan Maaedicare, sekali gus membuktikan kepentingan sokongan berterusan terhadap penjagaan kesihatan untuk golongan memerlukan.

Usaha itu diperkukuh menerusi penganjuran majlis gala kutipan dana tahunan A Night of Hope & Healing: Shine a Light, Save a Life yang menghimpunkan rakan korporat, penderma, tetamu kehormat dan penyokong.

Dana yang dikumpulkan akan disalurkan kepada pelbagai inisiatif penjagaan kesihatan amal, termasuk rawatan dialisis bersubsidi, program bantuan pesakit, penggantian mesin dialisis yang sudah berusia, perkhidmatan diagnostik jantung pada kadar berpatutan serta rawatan penjagaan kesihatan primer percuma menerusi Klinik Amal Percuma.

Ia turut menyokong program saringan Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) berasaskan komuniti bagi menggalakkan pengesanan awal dan pencegahan penyakit.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Maaedicare, Tunku Yaacob Khyra berkata penjagaan kesihatan amal perlu bergerak seiring perubahan landskap kesihatan negara dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada rawatan, malah pencegahan dan intervensi awal.

“Penjagaan kesihatan hari ini bukan lagi hanya mengenai merawat penyakit selepas ia berlaku.

“Ia juga berkaitan pelaburan dalam pencegahan, meluaskan akses kepada penjagaan berkualiti dan memastikan kesukaran kewangan tidak menjadi penghalang kepada penjagaan kesihatan penting,” katanya.

Beliau berkata, setiap sumbangan yang diterima membantu memperkukuh keupayaan yayasan untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan rakyat yang terus berkembang.

Menurutnya lagi, komitmen terhadap kecemerlangan klinikal dan inovasi turut diteruskan menerusi pelaksanaan kaedah berpandukan ultrabunyi di kesemua 11 pusat dialisis Maaedicare.

“Affordability tidak seharusnya datang dengan mengorbankan kualiti penjagaan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Maaedicare, Anne Rajasaikaran memaklumkan sumbangan yang diterima memberi kesan secara langsung kepada kehidupan pesakit dan keluarga mereka.

“Setiap sumbangan mewakili lebih daripada sekadar sokongan kewangan.

“Ia membantu pesakit meneruskan rawatan dialisis yang menyelamatkan nyawa, mendapatkan ubat-ubatan penting, melakukan perjalanan ke pusat rawatan dan menerima penjagaan yang diperlukan dengan penuh maruah,” katanya.

Anne berkata, sepanjang tempoh 10 tahun lalu, yayasan itu sudah menyediakan lebih 1.2 juta rawatan dialisis.

Katanya, Pusat Diagnostik Jantung Maaedicare pula merekodkan lebih 13,000 kunjungan pesakit, manakala tiga Klinik Amal Percuma yang dikendalikan yayasan itu secara keseluruhannya memberi perkhidmatan kepada kira-kira 8,000 pesakit setiap tahun.

Majlis gala itu turut dihadiri Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS), Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.

Hadir sama Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo; Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Datuk Dr. Kuljit Singh, selain rakan korporat, penaja, penderma dan tetamu kehormat.

Ditubuhkan pada 1994, Yayasan Kebajikan Maaedicare kini mengendalikan 11 pusat dialisis di sembilan negeri, satu-satunya Pusat Diagnostik Jantung amal di Malaysia serta tiga Klinik Amal Percuma.

Yayasan itu turut memperluas program saringan CKD berasaskan komuniti dan kerjasama strategik bagi meningkatkan pengesanan awal, mengurangkan beban penyakit kronik serta memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti pada kadar berpatutan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top