PN berisiko digantung jika langgar perlembagaan

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) berdepan kemungkinan digantung sekiranya siasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap perlembagaan dan prosedur gabungan itu.

Penyelidik Kajian Geopolitik dan Elektoral Borneo (GeoPES), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, siasatan RoS dilaksanakan berlandaskan undang-undang dan membuka ruang kepada tindakan penggantungan sekiranya terbukti berlaku pelanggaran prosedur secara nyata.

Katanya, aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung dakwaan tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu serta pertikaian status keanggotaannya turut menyentuh soal keabsahan tadbir urus gabungan itu.

“Sekiranya perlembagaan PN menetapkan penglibatan parti komponen utama sebagai syarat wajib bagi pembentukan kuorum dan keabsahan keputusan mesyuarat, tindakan mengetepikan Bersatu berisiko menyebabkan keputusan dibuat diisytiharkan tidak sah.

“Dalam konteks bidang kuasanya, RoS berhak mengeluarkan notis tunjuk sebab bagi menyiasat sama ada berlaku kecelaruan struktur atau ketidakpatuhan terhadap syarat pendaftaran yang menjejaskan hak keahlian serta keabsahan tadbir urus pertubuhan.

“Bagaimanapun, penggantungan atau pembatalan pendaftaran merupakan langkah pemulihan paling akhir. RoS lazimnya memberi keutamaan kepada arahan pembetulan pentadbiran termasuk memerintahkan mesyuarat diadakan semula mengikut peraturan supaya diperakukan sebagai sah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, RoS mengesahkan telah menerima aduan rasmi daripada Bersatu, antaranya dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN  pada 16 Julai lalu.

Ini termasuk aduan berkaitan kedudukan keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.

Menurut RoS, penelitian terhadap aduan yang dibangkitkan itu sedang dilaksanakan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, perlembagaan pertubuhan yang diluluskan serta rekod rasmi Jabatan.

Mengulas lanjut, Syahruddin berkata, implikasi muktamad terhadap PN bergantung kepada dapatan siasatan RoS serta maklum balas rasmi gabungan itu terhadap perkara yang dibangkitkan.

Katanya, proses berkenaan juga penting bagi memberi kejelasan terhadap kedudukan parti-parti komponen dalam PN mengikut lunas undang-undang sebagai sebuah gabungan politik berdaftar.

“PN perlu mengemukakan justifikasi mengenai pematuhan terhadap perlembagaannya bagi mengelakkan tindakan pembekuan secara rasmi yang boleh melibatkan semua bentuk aktiviti gabungan itu termasuk penggunaan logo.

“Keabsahan kedudukan parti-parti dalam PN juga perlu dilihat dari segi integriti kerana perkara itu memberi impak kepada imej dan reputasi gabungan berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top