'PN seolah-olah tahu akan kalah PRK Kuala Kubu Baharu' – Azalina

'PN seolah-olah tahu akan kalah PRK Kuala Kubu Baharu' – Azalina

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berasa pelik dengan tindakan Perikatan Nasional (PN) yang mahu mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu.

Dengan nada sinis, Azalina berkata, ia seolah-olah PN seperti tahu bahawa mereka akan kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Itu hak mereka. Mengikut perlembagaan dan undang-undang pilihan raya, sesiapa sahaja boleh memfailkan petisyen. Tetapi isunya sebelum apa-apa jadi, sudah nak failkan petisyen.

“Saya agak pelik seolah-olah macam dia tahu akan kalah. Saya tak tahulah. Tetapi pada saya, adakah bila dia menang, dia nak failkan petisyen?” katanya kepada pemberita selepas melawat Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak di Kuala Kubu Baharu, hari ini.

PN sebelum ini dilapor akan mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya PH memenangi Dun Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana pihaknya mempunyai bukti berlakunya ‘penyaluran’ yang disifatkannya sebagai rasuah dilakukan, selain penyalahgunaan jentera kerajaan dalam PRK ini.

Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ketua Penerangan Umno turut berpandangan, Takiyuddin sepatutnya tidak mengancam pengundi dengan kenyataan seperti itu.

“Tak bolehlah ancam macam itu. Tetapi mungkin dia ada sebabnya (dan)

hak parti. Itu demokrasi dalam negara kita,” katanya.

Ditanya adakah BN dan PH akan berbuat perkara yang sama untuk memfailkan petisyen sekiranya kalah PRK ini, Azalina sebaliknya menyatakan beliau tidak boleh menjawab perkara terbabit dan bukan seorang ‘nujum pak belalang.’

“Saya bukan nujum pak belalang. Kita kena tunggu keputusan. Tetapi yang lebih penting ialah saya ingatkan semua pihak bahawa kita kena memberikan penghormatan kepada pengundi khasnya.

“Kita mesti lihat pengundi itu memilih mereka yang akan memberikan khidmat sebagai wakil rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd