
Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) melancarkan identiti korporat baharu sebagai simbol transformasi strategik dan kematangan organisasi
SHAH ALAM – Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) melancarkan identiti korporat baharu sebagai simbol transformasi strategik dan kematangan organisasi dalam memperkukuh peranannya sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negeri.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Pusat Konvensyen MBSA, sekali gus menandakan langkah ke hadapan syarikat itu dalam mendukung agenda pembangunan di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS2) 2026–2030.

Amirudin dalam ucapannya menyatakan keyakinan terhadap keupayaan PNSB untuk muncul sebagai penanda aras pembangunan negeri Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, berkata, pengenalan identiti baharu itu mencerminkan fasa kematangan organisasi selepas lebih 35 tahun beroperasi.
“Identiti baharu ini adalah penanda aras transformasi strategik kami dan menjadi manifestasi komitmen berterusan PNSB untuk berinovasi serta mencipta nilai jangka panjang demi kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya dalam ucapan aluan pada majlis berkenaan pada Selasa.

Raja Ahmad Shahrir yakin pengenalan identiti baharu itu mencerminkan fasa kematangan organisasi selepas lebih 35 tahun beroperasi.
Menurut beliau, PNSB kini memberi penekanan kepada peningkatan kecekapan operasi melalui adaptasi teknologi, termasuk pelaksanaan konsep Smart Office dan integrasi kecerdasan buatan (AI) bagi mempertingkat produktiviti organisasi.
“Selain memperkukuh mandat perumahan rakyat menerusi projek Rumah Idaman, kami turut meneroka sektor berimpak tinggi seperti industri aeroangkasa dan pengurusan dana modal teroka (VC) sebagai langkah strategik memastikan kemampanan ekonomi masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Amirudin dalam ucapan perasmiannya menyatakan keyakinan terhadap keupayaan PNSB untuk muncul sebagai penanda aras pembangunan negeri.
“Identiti korporat baharu ini mencerminkan keyakinan bahawa PNSB bersedia melangkah lebih jauh. Apa yang dibina dan dilabur hari ini akan menjadi warisan Selangor pada masa hadapan,” katanya.
Pada majlis sama, PNSB turut memperkenalkan pelan perniagaan strategik lima tahun dikenali sebagai SHIFT30 yang dirangka bagi mempelbagaikan sumber pendapatan serta memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan.



