London: Ruben Amorim dilaporkan bakal menerima bayaran pampasan besar selepas dipecat oleh Manchester United, hari ini.
Amorim dipecat oleh United hanya beberapa jam selepas mengendalikan keputusan seri 1-1 menentang Leeds United di Elland Road, semalam.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Amorim kelihatan semakin kecewa dalam sidang media dan menyatakan beliau mahu menjadi “pengurus” Manchester United, bukan sekadar jurulatih. Kenyataan itu dibuat selepas perlawanan menentang Leeds.
Situasi itu mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan wujudnya pertelagahan antara pengendali dari Portugal itu dengan pihak pengurusan United, khususnya berkaitan formasi kegemarannya 3-4-3 serta dasar pengambilan pemain.
Menurut laporan The Athletic, keputusan untuk memecat Amorim dibuat oleh barisan kepimpinan kelab termasuk ketua pegawai eksekutif Omar Berrada dan pengarah bola sepak Jason Wilcox, susulan berlakunya keretakan hubungan antara mereka dan jurulatih berusia 40 tahun itu.
Dalam satu kenyataan rasmi kelab, United menyatakan keputusan tersebut dibuat “dengan berat hati” dan merakamkan penghargaan atas sumbangan Amorim kepada kelab.
Pemecatan itu berlaku hanya 14 bulan selepas United membayar £9.25 juta (RM50.58 juta) untuk membawa Amorim dari Sporting CP pada November 2024.
Ketika itu, Amorim menandatangani kontrak sehingga 2027 dengan opsyen lanjutan setahun lagi.
Difahamkan kontrak tersebut tidak mengandungi klausa pelepasan dengan kos diskaun, sekali gus bermakna United perlu membayar baki kontraknya sepenuhnya.
Menurut laporan The Sporting News, Amorim menerima gaji sekitar £125,000 (RM683,000) seminggu bersamaan £6.5 juta (RM35 juta) setahun. Dengan baki kontrak selama 77 minggu sehingga 30 Jun 2027, jumlah pampasan yang perlu dibayar kepadanya dianggarkan sebanyak £9,625,000 (RM52.68 juta).
Amorim turut membawa lima anggota kejurulatihan dari Sporting, Carlos Fernandes, Jorge Vital, Adelio Candido, Emanuel Ferro dan Paulo Barreira yang dijangka turut menerima pampasan sekiranya meninggalkan kelab, walaupun masa depan mereka masih belum diputuskan.
Sebagai perbandingan, menurut ESPN, United sebelum ini terpaksa membayar pampasan sebanyak £14.5 juta (RM79 juta) kepada Erik ten Hag, barisan kejurulatihannya serta bekas pengarah sukan Dan Ashworth selepas pemecatan pengurus dari Belanda itu pada Oktober 2024.
Selepas pemergian Amorim, bekas pengurus Chelsea, Enzo Maresca, dan ketua jurulatih Crystal Palace, Oliver Glasner, muncul sebagai calon utama untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.
Bekas pemain tengah United, Darren Fletcher, akan mengambil alih tugas sebagai pengurus sementara dan dijangka berada di bangku simpanan bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Burnley pada Rabu (7 Januari).
© New Straits Times Press (M) Bhd




