Bengaluru: Konstabel polis di Bengaluru, India digantung tugas selepas seorang suspek kes curi yang dalam tahanan, memakai pakaian seragamnya dan kemudian membuat panggilan video dengan isteri.
Insiden itu berlaku pada 2024, namun terbongkar baru-baru ini susulan siasatan polis terhadap kes pecah rumah yang berlaku Mei lalu.
Konstabel HR Sonar bertugas di Balai Polis Govindapura didakwa membawa suspek, Saleem Sheikh atau dikenali ‘Bombay Saleem’ yang berdepan lebih 50 pertuduhan, ke luar bandar untuk menunjukkan tempat simpan hasil curinya.
Ketika menginap di bilik hotel yang dikawal polis, Saleem mengambil peluang memakai pakaian seragam yang ditinggalkan di dalam bilik itu.
Dia kemudian membuat panggilan video menerusi WhatsApps dengan isterinya, sebelum gambar tangkap layar daripada panggilan itu tersebar.
Menurut laporan NDTV, polis Indiranagar menemui gambar itu semasa siasatan mereka terhadap kes pecah rumah pada Mei lalu, yang mendorong kepada siasatan dalaman.
Timbalan Pesuruhjaya Polis (Timur), B Devaraj mengesahkan gambar berkenaan yang jelas menunjukkan tanda nama Sonar dan panggilan video sememangnya dibuat kepada isteri Saleem.
Tindakan awal diambil dengan Sonar digantung tugas kerana kecuaian dan pengabaian tugas pada Sabtu.
Pihak berkuasa kini menyiasat hubungan Saleem dengan pegawai polis yang memungkinkannya bebas dan melakukan kesalahan berulang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




