Shah Alam: Polis sedang giat mengesan suspek dalam insiden melepaskan tembakan dan penemuan kelongsong peluru di Klang dekat sini, Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu jam 11.15 malam hari sama.
Beliau berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan polis tidak menolak sebarang kemungkinan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-3376 2222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial insiden tembakan yang didakwa berlaku di Taman Sentosa Fasa 19, Klang baru-baru ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd