am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan di Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil yang mengorbankan seorang wanita, Ahad lalu untuk tampil menyalurkan maklumat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, dalam kemalangan itu, pekerja kilang, Balqis Natasya Habibulah, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, kejadian berlaku pada 7.50 malam apabila motosikal ditunggang mangsa menghala ke arah Sungai Petani dipercayai hilang kawalan menyebabkan mangsa jatuh di kanan jalan.
“Mangsa parah dan meninggal dunia. Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




