Polis patahkan penculikan palsu kurang dari 24 jam melalui Op Scorpion

Polis patahkan penculikan palsu kurang dari 24 jam melalui Op Scorpion

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang menjadi mangsa ‘penculikan palsu’ diselamatkan dalam tempoh kurang 24 jam menerusi Op Scorpion, selepas laporan diterima daripada ibunya yang mendakwa anaknya diculik dengan tuntutan wang tebusan RM18,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa yang mendakwa anaknya diculik dan suspek menuntut wang tebusan bagi pembebasannya.

Laporan dibuat wanita berusia 43 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, Sarawak sebelum satu pasukan khas melibatkan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Johor dan Sarawak ditubuhkan untuk menjalankan operasi menyelamat di sekitar Johor Bahru.

“Hasil risikan, mangsa berjaya ditemukan di sebuah kediaman di Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru kira-kira pukul 3.30 petang ini. Polis turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai tiga rekod tangkapan lampau membabitkan dua kes dadah dan satu kes jenayah, manakala empat telefon bimbit turut disita.

Bagaimanapun, Kumar berkata, siasatan awal mendapati naratif penculikan diberikan mangsa menimbulkan keraguan sehingga wanita berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.

Katanya, permohonan reman terhadap kedua-dua individu terbabit akan dikemukakan di mahkamah esok, manakala motif sebenar kejadian masih disiasat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN

Scroll to Top