Polis sahkan anggota tentera maut kemalangan

Polis sahkan anggota tentera maut kemalangan

am@hmetro.com.my

Sabak Bernam: Anggota tentera yang ditemui maut dalam keretanya hari ini, dipercayai terbabit kemalangan yang menyebabkan kenderaannya hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam longkang besar.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kemalangan itu berlaku sekitar 4 pagi, 21 Mei lalu di Kilometer 34 Jalan Teluk Intan-Klang berhadapan sebuah hotel di sini.

Katanya, ketika kejadian, mangsa yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia 27 tahun dalam perjalanan dari Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan ke Markas TLDM Lumut, Perak.

“Siasatan awal mendapati anggota TLDM itu bertolak kira-kira 12.05 tengah malam dan apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa disyaki gagal mengawal keretanya iaitu Perodua Kelisa, lalu terbabas dan terjunam ke dalam longkang besar yang berair,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Agus Salim berkata, satu laporan dibuat isteri mangsa pada 8.54 pagi 22 Mei dan memaklumkan mangsa tidak hadir tugas dan gagal dikesan.

“Kali terakhir isteri mangsa berhubung melalui aplikasi WhatsApp pada 1.30 pagi (21 Mei) semasa mangsa berada di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Utara.

“Pada 5 pagi hari sama, isteri mangsa cuba menghubungi suaminya namun gagal,” katanya yang memberitahu mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat.

Menurutnya, punca kematian akan diketahui selepas bedah siasat selesai, manakala siasatan di lokasi mendapati permukaan jalan raya kering, bahu jalan berumput dan longkang berair.

“Namun, tiada sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian,” katanya yang memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd