Polis sahkan Neelofa & PU Riz ke Langkawi atas urusan kerja, bukan ‘bulan madu’

Sejak melangsungkan pernikahan mereka tempoh hari, kecoh diperkatakan pasangan pengantin selebriti terkenal Neelofa dan PU Riz melanggar larangan merentas negeri untuk ke Langkawi bagi berbulan madu.

Bagaimanapun, tular satu kenyataan dari pihak francais minuman terkenal iaitu Chatime yang mempertahankan pasangan terbabit menyatakan mereka pergi atas lawatan kerja melibatkan salah satu pembukaan cawangannya di Zon Utara.

“Untuk makluman, Neelofa dan Muhammad Haris sedang menjalankan lawatan kerja ke 3 lokasi di Zon Utara iaitu Sungai Petani & Langkawi (Kedah), serta Kangsar (Perlis) bagi tujuan pembukaan cawangan-cawangan baru Chatime di Zon Utara,” tulis kenyataan tersebut.

Selain itu, apabila menjengah ke laman sosial Instagram pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor pula, ternyata usahawan berusia 32 tahun itu memuat naik gambar minuman jenama itu dengan kapsyen ‘tidak sabar menunggu’.

Justeru itu, jelaslah pasangan selebriti itu bekerjasama dengan francais minuman tersebut.

Dalam pada itu, memetik laporan Kosmo Online, pihak polis di Balai Polis Sri Hartamas turut memaklumkan telah menyiasat dan mengesahkan kebenaran merentas negeri kedua pasangan itu.

“Hasil semakan pada borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditandatangani oleh Ketua Polis Balai, Balai Polis Sri Hartamas, mendapati sebab-sebab pergerakan keluar empat individu ini adalah atas urusan kerja.” ujar Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields.

Menurutnya lagi, berdasarkan permohonan berkenaan, Neelofa dan PU Riz dibenarkan pergi ke lokasi tujuan bermula 27 Mac hingga 4 April 2021.

Terdahulu, terdapat banyak kes melibatkan pelanggaran SOP serta kebenaran merentas negeri di kalangan rakyat biasa serta selebriti.

Oleh itu ramai yang mempersoalkan layanan pihak berkuatkuasa antara rakyat biasa dan golongan selebriti dalam kes pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di negara ini.

Sumber: Kosmo Online, Instagram Neelofa