Polis siasat Chegu Bard, Muhammad Zahid pertikai kenderaan mewah kurniaan Agong kepada PM

Polis siasat Chegu Bard, Muhammad Zahid pertikai kenderaan mewah kurniaan Agong kepada PM

KUALA LUMPUR : Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap Chegu Bard dan Bekas Setiausaha Politik, Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhammad Zahid Md Arip berhubung kenyataan mereka berkaitan kenderaan mewah kurniaan Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri.

Razarudin berkata, siasatan dijalankan terhadap mereka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

“Ia susulan kenyataan dibuat mereka berkaitan kendera­an baharu digunakan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan memanggil mereka berdua bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan KDNKA serta Pengarah dan Pengerusi PERKEP JSJN PDRM di Dewan Tan Sri Abd Rahman Hashim di Pulapol, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat menggunakan kenderaan baharu jenama Mercedes Benz di Parlimen.

Anwar dilihat menaiki kereta Mercedes berwarna hitam dengan nombor pendaftaran VEV 1158 di mana semakan didaftarkan atas nama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.