am@hmetro.com.my
Ipoh: Polis menyiasat dakwaan tular menerusi surat layang mengenai salah laku gangguan seksual serta ugutan membabitkan kakitangan perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, sebagai dakwaan fitnah serta penggunaan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan dibuat berdasarkan laporan polis diterima hari ini daripada lelaki berusia 43 tahun yang juga doktor di hospital itu mengenai penularan surat layang itu.
Beliau berkata, siasatan mendapati surat layang yang tersebar itu menuduh mangsa serta kakitangan lain hospital berkenaan melakukan perbuatan terkutuk terhadap kakitangan doktor pelatih di Jabatan Ortopedik hospital sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataannya, malam ini.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-2500019.
Terdahulu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Feisul Idzwan Mustapha, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan Bebas susulan dakwaan tular menerusi surat layang itu yang ditemukan di Jabatan Ortopedik, HRPB.
Dr Feisul Idzwan dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui JKN Perak mengesahkan penerimaan surat layang terbabit melalui pos pada 28 Februari yang seterusnya membawa kepada penubuhan jawatankuasa itu pada 29 Februari lalu.
Surat layang itu turut tular di laman sosial X yang memaparkan dakwaan bekas doktor pelatih wanita tamat latihan serta mereka yang masih menjalani latihan di Jabatan Ortopedik, menyatakan masalah dihadapi mereka apabila diugut serta diganggu secara seksual.
Dalam pada itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri Ketika dihubungi hari ini mengesahkan pihaknya tidak menerima laporan gangguan seksual seperti dimaksudkan menerusi surat layang itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




