Polis siasat kewujudan ukiran wajah Mao Zedong

Polis siasat kewujudan ukiran wajah Mao Zedong

harisfadli@hmetro.com.my

Kajang: Polis memulakan siasatan berhubung kewujudan ukiran wajah bekas Pengerusi Parti Komunis China bersama petikan puisi berkenaan ideologi komunisme di sebuah taman memorial di Semenyih, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kertas siasatan dibuka selepas menerima laporan berkenaan perkara itu, di sini, kelmarin.

“Pihak polis mengesahkan menerima laporan pada 4.16 petang kelmarin, daripada seorang pengadu iaitu wanita tempatan berusia 40 tahun yang menyatakan terdapat batu ukiran wajah Mao Zedong beserta tulisan puisi ideologi komunisme.

“Siasatan sedang dijalankan ke atas aduan itu secara menyeluruh termasuk satu video tular berdurasi dua minit 12 saat yang membahaskan isu berkenaan di TikTok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, setakat hari ini, tiga saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Terdahulu tular di media sosial satu klip video berdurasi dua minit 12 saat memaparkan seorang wanita dipercayai warga tempatan menterjemahkan puisi berbahasa China pada ukiran berkenaan.

Wanita itu mendakwa, rakyat China dipaksa untuk menghafal puisi berkenanaan seterusnya berkata, puisi berkenaan mempunyai fakta sejarah yang diubah bagi menampakkan kehebatan Mao Zedong berbanding pemimpin lain.

Sehubungan itu, Naazron berkata, sebarang maklumat berkaitan boleh berhubung dengan balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top