zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Jika sebelum ini, aktiviti moreh yang menjadi amalan turun-temurun masyarakat Melayu biasanya diadakan di masjid dan surau namun seiring dengan peredaran zaman, ‘port’ moreh berkonsepkan santai dan tradisional mula muncul ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.
Selain dipenuhi pengunjung beragama Islam untuk aktiviti moreh dan bersahur, ia turut menjadi tumpuan bukan Islam.
Antara yang menjadi tumpuan ramai ialah Selepek Sahur Payang Walk yang membawa konsep santai dengan kepelbagaian juadah untuk dinikmati.
Pengunjung, Azmi Ghani, 63, berkata, dia bersama enam ahli keluarga tidak melepaskan peluang merasai pengalaman bermoreh di sini apabila pengunjung menikmati juadah masing-masing dalam keadaan santai di atas tikar.
“Ini tahun kedua aktiviti moreh diadakan di sini dan tahun ini, saya ke sini lagi kerana suasana yang selesa memandangkan kawasannya lapang.
“Selain bersantai bersama keluarga, seronok juga dapat lihat gelagat pengunjung lain yang datang ke sini,” katanya dari Batu Rakit, Kuala Nerus.
Bagi Ella Lau, 23, sudah menjadi kelaziman dia mengunjungi lokasi moreh di sekitar Kuala Terengganu setiap kali Ramadan.
“Moreh bukan saja amalan masyarakat Melayu setiap kali bulan puasa namun aktiviti ini turut dinantikan kami yang bukan beragama Islam untuk sama-sama bersantai dan menikmati pelbagai makanan yang ada.
“Ia satu pengalaman yang indah kerana masyarakat berbilang kaum tanpa mengira usia dan fahaman agama berkumpul untuk memeriahkan ‘port’ yang ada dan itu uniknya di Malaysia,” kata penuntut sebuah universiti di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kewujudan pelbagai lokasi moreh yang mengetengahkan pelbagai konsep mampu merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.
“Kewujudan lokasi moreh ini bukan saja menjadi pilihan penduduk setempat tetapi menarik pelancong dari dalam dan luar negara termasuk masyarakat bukan Islam.
“Ini secara tidak langsung memberi limpahan rezeki kepada peniaga selain pada masa sama, memberi peluang kepada pengunjung terutama dari luar Terengganu untuk menikmati juadah tradisional Terengganu,” katanya ketika dihubungi.
Selain Selepek Sahur Payang Walk, terdapat beberapa lagi ‘port’ di sekitar daerah ini iaitu di Pulau Warisan berhampiran Jambatan Angkat, Kuala Ibai dan berhampiran Primula Hotel.
© New Straits Times Press (M) Bhd




