PR1MA peruntuk RM900,000 agih bantuan banjir ke Pantai Timur – Ahmad Maslan

PR1MA peruntuk RM900,000 agih bantuan banjir ke Pantai Timur – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) memperuntukkan sejumlah RM900,000 untuk disalurkan kepada mangsa banjir di negeri Pantai Timur termasuk Kelantan dan Terengganu.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sumbangan berbentuk barang keperluan dan kelengkapan pembersihan pasca banjir itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PR1MA dalam membantu rakyat yang timpa musibah itu.

“Konvoi ini akan menghantar 7,000 barang keperluan termasuk 1,000 barang masing-masing merupakan kit permulaan makanan, kit banjir, pek makanan, tilam bersaiz Queen, kain pelekat, telekung, set beg sekolah.

“Turut disalurkan ialah kelengkapan untuk membersihkan sebanyak 800 barang kelengkapan masing-masing ialah jet air, mop lantai, penyapu plastik, penolak air, paip getah, baldi, sarung getah, kasut getah dan cangkul.

“Ini adalah usaha CSR yang amat baik dilakukan oleh PR1MA dan saya harap ketika musibah di tempat lain, kita sebagai agensi yang ada keupayaan dapat membantu,” katanya kepada pemberita di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Terdahulu beliau yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan Konvoi Sumbangan Bantuan Banjir ke Kelantan dan Terengganu, pagi tadi.

Hadir sama Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya.

Ahmad Maslan (tengah) melihat barang kerpeluan asas ketika Majlis Pelancaran Konvoi Sumbangan Bantuan Banjir ke Kelantan Dan Terengganu di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM 10 JANUARI 2023.

Dalam pada itu, sumbangan banjir ini merupakan kesinambungan daripada usaha kerajaan pada Disember lalu di empat lokasi di negeri Pantai Timur termasuk Tumpat, Pasir Puteh, Besut dan Kemaman.

“Ketika itu syarikat milik Kementerian Kewangan iaitu Malaysia Rail Link melaksanakan projek ECRL melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

“Ketika Kelantan dan Terengganu ditimpa musibah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan membantu.

“Hari ini tiba giliran Prima untuk membantu, walaupun banjir sudah surut, tapi kesan banjir masih ada terutama urusan pembersihan dan bantuan keperluan mangsa banjir hari ini,” katanya.

Beliau turut menyeru agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meneruskan usaha itu ketika rakyat ditimpa musibah.

“Kita berharap tiada lagi negeri dilanda banjir, selalunya Januari ini memang di beberapa negeri dilanda banjir, tapi Alhamdulillah tahun ini tiada lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette