Prabowo beri ‘penilaian baik’ kepada pemerintahannya

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menilai prestasi pemerintahannya yang hampir memasuki tahun kedua sebagai ‘baik’, berdasarkan beberapa pencapaian yang didakwa berjaya dicapai sepanjang tempoh pentadbirannya.

Prabowo berkata, kerajaan pimpinannya kini mempunyai keyakinan untuk berdepan rakyat selepas melaksanakan beberapa program yang menunjukkan hasil nyata.

“Terus terang saja, saya rasa dua tahun ini kita sudah berprestasi. Saya kira dua tahun boleh kita beri ‘rapor oke’ (penilaian baik),” katanya ketika menghadiri pelancaran buku 10 Karya Nyata untuk Negeri: Setengah Abad Bahlil Lahadalia di Djakarta Theater, Jakarta Pusat pada Jumaat.

Menurut Prabowo, antara pencapaian utama pemerintahannya ialah kemajuan dalam usaha mencapai sara diri makanan, mengekalkan harga bahan api bersubsidi, peningkatan pendapatan Badan Pengelola Investasi Daya Anagata Nusantara (Danantara), pembinaan jambatan serta pembaikan sekolah.

Beliau berkata, usaha mencapai sara diri makanan menjadikan Indonesia lebih bersedia menghadapi kemungkinan ancaman global.

“Kita bersedia menghadapi ancaman dunia. Sara diri makanan kita semakin menuju ke arah itu dan kita lebih kuat daripada banyak negara lain,” katanya.

Prabowo turut menegaskan kerajaan berjaya mengekalkan harga bahan api bersubsidi walaupun berdepan tekanan ekonomi global.

Menurutnya, pengurusan sektor tenaga yang baik membolehkan kerajaan mengekalkan harga berkenaan bagi membantu rakyat.

Beliau turut mendakwa pendapatan Danantara meningkat sehingga 400 peratus selepas setahun beroperasi.

Bagaimanapun, Prabowo mengakui pencapaian itu masih perlu melalui proses audit dan pemeriksaan bagi memastikan angka berkenaan tepat.

Dalam sektor infrastruktur pula, beliau berkata kerajaan hampir menyiapkan pembinaan 2,500 jambatan di kampung-kampung seluruh Indonesia.

Kerajaan turut menyasarkan pembaikan 70,000 sekolah sehingga akhir 2026 sebelum meningkatkan jumlah itu kepada 100,000 sekolah pada 2027.

Prabowo berkata, pusat kesihatan masyarakat (puskesmas) yang sudah lebih 30 tahun tidak dibaiki juga akan diberi perhatian.

Walaupun Prabowo memberikan penilaian positif terhadap prestasi pemerintahannya, beberapa kajian menunjukkan tahap kepuasan rakyat terhadap pentadbirannya berbeza.

Kajian Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC) merekodkan tahap kepuasan terhadap prestasi Prabowo sebanyak 51.1 peratus dalam kajian terbaharu.

Angka itu menurun berbanding 81.2 peratus yang direkodkan pada November 2025.

Jumlah responden yang tidak atau sangat tidak berpuas hati pula meningkat daripada 16 peratus kepada 46.9 peratus dalam tempoh sama.

Bagaimanapun, kajian Indonesia Political Opinion (IPO) merekodkan tahap kepuasan lebih tinggi iaitu 63 peratus.

Perbezaan dapatan itu menunjukkan penilaian Prabowo terhadap prestasi pemerintahannya tidak semestinya mencerminkan persepsi keseluruhan rakyat Indonesia.-Agensi

Scroll to Top