Premis GISBH di Sabah, Sarawak sudah tidak beroperasi

Premis GISBH di Sabah, Sarawak sudah tidak beroperasi

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Premis Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Sarawak dan Sabah didapati sudah ditutup dan tidak beroperasi susulan Op Global dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, PDRM sudah mengadakan sesi mesyuarat bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam siasatan terhadap GISBH bagi meneliti situasi semasa pengoperasian premis yang mempunyai kaitan dengan organisasi tersebut di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, mesyuarat ini turut melibatkan wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Hasil mesyuarat itu mendapati premis-premis yang berkaitan dengan GISBH di Sabah dan Sarawak telah ditutup dan tidak beroperasi.

“Justeru, dicadangkan supaya agensi-agensi yang terbabit mengambil tindakan untuk menggeledah dan menyita premis itu mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 3/1995 dan Seksyen 16a Akta Pusat Jagaan 1993 bagi premis di Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Razarudin berkata, manakala di Sarawak tindakan yang sama akan dilaksanakan mengikut Seksyen 44 Ordinan Tatacara Jenayah Syariah (Sarawak) dan Seksyen 16a Akta Pusat Jagaan 1993.

“Pihak polis akan membantu sepenuhnya dalam menjalankan tindakan ini. Walaupun premis ini telah dikesan tidak beroperasi, PDRM akan terus memantau bagi memastikan individu yang terlibat dapat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top