Presiden Argentina positif Covid-19 selepas divaksin

Alberto Fernandez melengkapkan dua dos vaksin Sputnik V buatan Rusia pada 11 Feb lalu. (Gambar AP)

BUENOS AIRES: Presiden Argentina, Alberto Fernandez disahkan positif Covid-19 pada Jumaat, walaupun selepas beliau divaksin.

“Selepas demam dengan suhu 37.3 darjah Celsius dan sedikit sakit kepala, saya menjalani ujian antigen yang menunjukkan saya positif,” tulisnya di Twitter sambil menambah beliau sedang menunggu keputusan ujian PCR untuk mengesahkan diagnosis itu.

Fernandez yang genap 62 tahun pada Jumaat, kini dalam pengasingan sebagai langkah berjaga-jaga, tetapi beliau “secara fizikal dalam keadaan baik”.

“Walaupun saya mahu mengakhiri ulang tahun kelahiran saya tanpa berita ini, saya juga dalam keadaan baik.”

Fernandez menerima vaksin buatan Rusia, Sputnik V, dengan dos keduanya diterima 11 Feb lalu, kata sumber di pejabat presiden kepada AFP.

Argentina sedang menghadapi gelombang kedua Covid-19 dengan lonjakan kes secara berterusan.

Negara di Amerika Selatan yang mempunyai 44 juta penduduk itu mencatatkan lebih 2.3 juta kes dan 55,000 kematian akibat Covid-19.