PRK Batu Sapi ditentukan selepas darurat berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh baharu Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Batu Sapi akan ditentukan selepas darurat berakhir.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hal ini berikutan pengisytiharan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah , sekali gus membatalkan PRK berkenaan.

SPR sebelum ini menetapkan 5 Disember sebagai hari pengundian PRK Parlimen Batu Sapi, sementara hari penamaan calon ditetapkan 23 November manakala hari pengundian awal 1 Disember.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Kong pada 2 Oktober lalu, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Mengulas mengenai PRK Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, Abdul Ghani berkata, SPR kini mengaturkan urusan mengadakan PRK seperti biasa sebaik dimaklumkan mengenai kekosongan rasmi kerusi berkenaan.

“Kita sudah dapat makluman kerusi Parlimen Gerik hari ini tetapi DUN Bugaya belum lagi. Kita akan meneruskan proses seperti biasa untuk menentukan tarikh-tarikh penting PRK, kecuali ada keputusan sama (darurat) di kawasan itu, maka kita akan tangguhkan juga,” katanya.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya dari Parti Warisan Sabah (WARISAN), Manis Muka Mohd Darah, 65, meninggal dunia di Hospital Gleneagles di Kota Kinabalu, Sabah.

Dewan Rakyat pagi tadi telah mengemukakan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Gerik kepada SPR berikutan kematiannya penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman di Raub, Pahang kerana sakit jantung,
kelmarin.

Sumber Berita Harian

Malay News
National Desk