PRN: Agihan kerusi BN-PH dimuktamad minggu depan

PRN: Agihan kerusi BN-PH dimuktamad minggu depan

KUALA LUMPUR: Pengagihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)  memasuki fasa akhir bagi menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) apabila bakal dimuktamad pada minggu depan.

Ini setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dijangka dibubarkan dalam tempoh kurang sebulan dari sekarang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu antara fokus partinya ketika ini.

“Selepas pemilihan, kita mendengar pemegang-pemegang jawatan tentang perancangan masa depan untuk perkasakan parti dan perencanaan berdepan PRN.

“Dalam soal ini (kerusi), ia belum muktamad, peringkat negeri diminta berbincang dan kita hanya akan tahu hujung bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir mesyuarat MKT malam tadi.

Pada 20 Mei lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan partinya sudah menyenarai pendek nama calon yang bakal bertanding dalam PRN akan datang.

Katanya, senarai itu hasil perbincangan dengan pengerusi-pengerusi perhubungan negeri.-UTUSAN