Rakyat kita ketagih peranti

Rakyat kita ketagih peranti

saufi@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Umpama ‘dadah’ baharu untuk generasi alaf ini. Ia disimpulkan berhubung ketagihan penggunaan peranti pintar dalam kalangan rakyat negara ini apabila rata-rata individu tidak mampu ‘hidup’ tanpa peranti.

Ini terbukti apabila kajian oleh badan antarabangsa serta syarikat pembekal proksi, Proxyrack mendedahkan bahawa rakyat Malaysia menduduki tempat kedua dalam aspek ketagihan peranti dengan skor 8.7 di belakang Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Antara negara lain yang turut menduduki lima teratas adalah Arab Saudi dengan skor 8.41, Singapura (7.96) dan Vietnam (7.62).

Lebih mengejutkan, purata masa di internet atau penggunaan media sosial untuk rakyat negara ini adalah sekitar tujuh hingga lapan jam sehari menjadikan antara negara paling tinggi dalam skor tempoh masa skrin peranti.

Golongan ini mampu untuk melihat skrin peranti pintar berjam lamanya tanpa mempedulikan keadaan yang berlaku di sekeliling, sekali gus meningkatkan risiko kepada masalah kesihatan.

Peranti pintar ini juga umpama ‘dadah moden’ yang turut mengkhayalkan pengguna, malah tempoh masa melayari di platform media sosial adalah yang paling tinggi.

Berdasarkan kepada dapatan Kaji Selidik Kepenggunaan Internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 2020 memperlihatkan peratusan peningkatan penggunaan gajet kanak-kanak serta remaja berusia lima hingga 17 tahun daripada 18.4 peratus pada 2016 kepada 47 peratus pada 2020.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, golongan kanak-kanak paling terkesan apabila berlaku kes speech delay (lambat bercakap) dalam kumpulan umur berkenaan.

“Bayangkan tempoh kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa melayari Internet melebihi 18 jam sehari iaitu menghampiri tempoh seharian sebanyak 24 jam.

“Kadar purata kuota data pada suku pertama tahun lalu adalah 25.7GB berbanding suku pertama 2019 sekitar 16GB saja. Ini dilihat sejajar dengan peningkatan tempoh pengguna di ruang internet.

“Laporan itu juga menyatakan bahawa ramai dalam kalangan ibu bapa tidak menggunakan kawalan tempoh masa skrin anak-anak mereka. Ia umpama memberikan senjata kepada golongan ini,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Pada masa sama, beliau bimbang bahawa ketagihan peranti ini turut membabitkan pelayaran maklumat yang tidak sepatutnya seperti akses kepada laman pornografi.

Menurutnya, ibu bapa perlu memainkan peranan yang besar dalam mengehadkan tempoh masa skrin untuk anak-anak mereka dan mengurangkan kebergantungan kepada peranti.

“Masalah ketagihan peranti pintar ini bukan untuk kanak-kanak atau remaja saja tetapi sudah membabitkan semua peringkat umur.

“Sebelum tidur tengok skrin telefon, bangun tidur tengok telefon dulu, terjaga di tengah malam juga akan melihat skrin telefon, ini membuktikan kita sudah berada dalam satu fasa ketagihan peranti.

“Kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan adalah mengehadkan tempoh masa skrin, contohnya beberapa jam sebelum tidur, tidak perlu melihat telefon sehingga pagi dan perlu ada satu masa iaitu ‘masa bebas peranti’ ketika berada dengan keluarga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd