IPOH – MIC memberi fokus terhadap kemenangan kerusi yang diperuntukkan oleh Barisan Nasional (BN) berbanding menambah jumlah kerusi untuk ditandingi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan BN kekal mendapat mandat mentadbir Johor.
Menurutnya, semua parti mempunyai keinginan untuk bertanding di lebih banyak kerusi, namun perkara lebih penting ialah memastikan kerusi yang ditandingi mampu dimenangi.
“Ini bukan soal dapat kerusi tambahan. Semua orang perlu faham. Apa yang penting ialah memenangi kerusi yang diperuntukkan.
“Ia mengenai usaha membawa BN terus berkuasa di Johor. Jadi kita perlu memilih calon dan kerusi yang terbaik. Bukan lagi soal mahu banyak kerusi kerana jika tidak menang, ia menjadi sia-sia,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Keluarga MIC sempena ulang tahun ke-80 parti itu di Taman DR Seenivasagam di sini pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, Vigneswaran memaklumkan rundingan kerusi bagi PRN di Johor telah dilaksanakan manakala rundingan di Melaka dijangka tidak berdepan sebarang masalah.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah serta lokasi kerusi yang diperuntukkan kepada MIC dan menyerahkan perkara itu untuk diumumkan oleh kepimpinan BN.
Mengulas persiapan MIC menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Vigneswaran berkata, pelbagai program yang dianjurkan parti ketika ini bukan sahaja bertujuan mendekati ahli-ahli MIC, malah masyarakat secara keseluruhan.
Menurutnya, program sedemikian turut menjadi sebahagian daripada persediaan parti menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya.
“Sudah tentu MIC bersedia sekiranya pilihan raya diadakan. Namun secara peribadi saya tidak fikir Pilihan Raya Umum akan diadakan dalam masa terdekat.
“Tetapi bagi pilihan raya negeri, saya rasa perkara itu hampir pasti berlaku,” katanya.
Pada 16 Mei lalu, media melaporkan BN Johor mengumumkan akan bertanding semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN negeri.
Dalam PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 kerusi DUN.
MIC yang bertanding di empat kerusi DUN atas tiket BN pada PRN itu hanya menang di Tenggaroh manakala tewas di Kahang, Bukit Batu dan Kemelah.
Pakatan Harapan (PH) pula menang 12 kerusi, dengan 10 dimenangi DAP, selain PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menang tiga, manakala Muda satu.
DUN Johor dijangka terbubar secara automatik pada 21 April tahun depan.



