PRN Johor: Undi wajib kepada PN – Pemuda Pas

PRN Johor: Undi wajib kepada PN – Pemuda Pas

SHAH ALAM – Pas kekal konsisten dalam memastikan semua ahli dan penyokong memberikan undi wajib kepada calon Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, pendirian tersebut merupakan kewajipan utama setiap ahli bagi memastikan kemenangan semua calon PN tanpa mengira parti komponen yang diwakili.

Mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kesediaan memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi PN, beliau menjelaskan perkara itu perlu difahami dalam konteks strategi politik yang lebih besar.

Menurutnya, matlamat utama strategi berkenaan adalah untuk menyekat dominasi Pakatan Harapan (PH), khususnya pengaruh DAP sebagai parti terbesar dalam gabungan itu, demi menjaga kepentingan rakyat dan masa depan Johor.

Jelasnya, Pemuda Pas berpandangan bahawa strategi memecahkan penguasaan PH merupakan satu keperluan yang mesti difahami oleh semua pihak.

“Dalam suasana politik hari ini, setiap undi mempunyai nilai strategik untuk menentukan hala tuju pentadbiran negeri selepas pilihan raya.

“Sebarang pertimbangan mengundi calon selain PN di kerusi tertentu hendaklah dilihat sebagai strategi politik yang bertujuan menghalang kemaraan PH.

“Strategi tersebut bukan dasar umum dan boleh berubah mengikut keperluan serta perkembangan semasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Khairul Nadzir turut menambah bahawa keutamaan Pas tetap konsisten, iaitu memperkukuhkan penguasaan politik Melayu-Islam, memastikan kemenangan PN sebanyak mungkin, serta menghalang PH dan DAP daripada menguasai Johor.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong Pas supaya tidak terpengaruh dengan naratif yang cuba mengelirukan masyarakat.

“Kekalkan disiplin perjuangan, patuhi arahan parti, dan utamakan kemenangan PN sebagai agenda utama dalam PRN Johor.

“Undi wajib kepada PN. Strategi politik di kerusi lain bertujuan mengekang kemaraan PH. Keutamaan kita tetap sama iaitu mempertahankan kepentingan Islam, Melayu dan masa depan Johor,” tambahnya.

 

Scroll to Top