am@hmetro.com.my
Melaka: EXCO Kanan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin dijangka kekal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, tetapi berkemungkinan beralih ke kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh membayangkan pertukaran kerusi itu pada majlis penutup Karnival Sungai Udang dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Taman Seri Bertam, di sini, hari ini.
“Terdapat 15,000 anggota tentera tinggal dalam DUN Sungai Udang ini, sebab itu sejak akhir-akhir ini saya lihat Datuk Rais kerap mengenakan seluar dan topi celoreng tentera, saya pun pelik. Saya tanya apa dah jadi ni Rais? Tapi saya faham.
“Kalau tuan-tuan nak orang (wakil rakyat) yang mewakili Sungai Udang ini, kalau nak cari tempat mandi pertama… teluk, kedua… pantai, kalau nak cari pemimpin yang mewakili tuan-tuan di tempat ini pertama elok kedua pandai. Tidak lain dan tidak bukan, calonnya adalah Datuk Rais Yasin,” katanya yang disambut sorakan hadirin.
Pada PRN lalu, Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu menang di kerusi Paya Rumput dengan majoriti 629 undi selepas menewaskan empat pencabarnya termasuk bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mewakili Pakatan Harapan (PH), selain Muhammad Fariz Izwan Mazlan (PN), Mohd Jaini Dimon (BEBAS) dan Mohamad Hashidi Mohd Zin (PUTRA).
Ketika ini, DUN Sungai Udang disandang Dr Mohd Aleef Yusof dari Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Rais yang juga Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu ketika ditemui terkejut dengan pengumuman berkenaan, namun menegaskan kesediaannya untuk mematuhi arahan parti sekiranya ditetapkan bertanding di kerusi DUN berkenaan.
Katanya, sebagai anggota parti, beliau akan terus melaksanakan tanggungjawab dan bekerja untuk memastikan BN merampas kembali kerusi terbabit, selain mempertahankan semua kerusi dimenangi dalam Parlimen Tangga Batu.
“Insya-Allah, di mana juga saya diletakkan, saya akur kerana saya adalah saya orang parti dan akan terus bekerja demi parti. Saya tahu perkara itu kadang-kadang menjadi satu polemik yang akan dibangkitkan oleh pihak tertentu.
“Namun komitmen saya, sama ada di Sungai Udang, Paya Rumput, Klebang atau Pantai Kundor, saya selaku Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dan Pengerusi BN Tangga Batu, komitmen saya adalah untuk memastikan semua DUN yang ditandingi BN akan memperoleh kemenangan.
“Soal penentuan kerusi dan calon adalah hak parti, manakala tanggungjawab saya serta calon lain adalah memastikan jentera BN di Tangga Batu terus diperkukuh bagi menghadapi pilihan raya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


