PETALING JAYA: Penyanyi antarabangsa, KAROL G kembali dengan album studio ketujuh, No Me Arrepiento de Sentir Tanto yang menghimpunkan 14 lagu mengenai pelbagai emosi termasuk cinta, patah hati, kemarahan, nostalgia, harapan dan proses penyembuhan.
Album berkenaan menampilkan kolaborasi bersama beberapa nama besar termasuk Bruno Mars, Drake, Greg Gonzalez, Judeline dan Rusowsky.
Menurut kenyataan media, No Me Arrepiento de Sentir Tanto bukan sekadar karya mengenai usaha melupakan sesuatu dan meneruskan kehidupan, sebaliknya mengajak pendengar memberi ruang kepada diri sendiri untuk merasai setiap emosi sepenuhnya.
“Inspirasi album itu hadir daripada perjalanan hidup KAROL G sendiri serta pelbagai kisah yang dikongsikan peminatnya sepanjang tahun.” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menerusi album berkenaan, penyanyi yang pernah memenangi Anugerah GRAMMY dan lapan Anugerah Latin GRAMMY itu membawa mesej pengalaman setiap individu mungkin berbeza, namun emosi yang dirasai menjadi antara perkara yang menghubungkan manusia.
Disusun untuk dinikmati dari awal hingga akhir, setiap lagu mewakili bab berbeza dalam sebuah perjalanan emosi yang lengkap, sekali gus memberi ruang kepada pendengar untuk melihat sebahagian daripada pengalaman mereka sendiri menerusi muzik.
Dari sudut muzik, album berkenaan turut menandakan evolusi baharu dalam perjalanan seni KAROL G menerusi gabungan pop alternatif, pengaruh muzik Latin, produksi atmosfera dan instrumentasi organik.
Dalam pada itu, lagu Still yang menampilkan Bruno Mars mencipta kelainan apabila menjadi rakaman pertama KAROL G yang dinyanyikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.
No Me Arrepiento de Sentir Tanto kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.


