PRN Melaka: Makin panas! Dari sekutu jadi seteru? Takiyuddin dakwa BERSATU mahu ‘lumpuhkan’ PN

PRN Melaka: Makin panas! Dari sekutu jadi seteru? Takiyuddin dakwa BERSATU mahu ‘lumpuhkan’ PN

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dibuat dengan tujuan untuk ‘melumpuhkan’ gabungan berkenaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dakwaan itu terkandung dalam afidavit sokongan yang difailkan Takiyuddin bagi permohonan semakan kehakiman PN untuk mencabar dua notis dikeluarkan RoS yang mencetuskan persoalan mengenai status gabungan berkenaan.

Menurut Takiyuddin, beliau percaya BERSATU bertindak dengan niat tidak baik selepas parti itu tidak dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa BERSATU tidak membuat aduan tersebut untuk mempertahankan apa apa hak yang dipunyainya selaku parti anggota PN.
“Saya sesungguhnya percaya bahawa BERSATU membuat aduan tersebut untuk melumpuhkan PN, suatu gabungan yang pada masa itu sedang ditentangnya dalam pilihan raya,” katanya menerusi afidavit berkenaan.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS turut mengemukakan beberapa rentetan peristiwa yang menurutnya menyokong dakwaan bahawa aduan BERSATU dibuat atas tujuan lain.

PN sebelum ini dilaporkan pernah mempersoalkan kesahihan Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dan mengutus surat kepada parti berkenaan bagi mendapatkan penjelasan.

RoS kemudiannya mengeluarkan notis kepada PN pada 22 dan 23 September susulan aduan BERSATU berhubung tindakan gabungan itu yang tidak menjemput parti berkenaan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN walaupun BERSATU menegaskan ia masih merupakan parti komponen yang sah.

PN diberi tempoh 30 hari untuk memberikan penjelasan kepada RoS berhubung perkara tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, PN memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar dua notis berkenaan.

Tindakan itu antara lain bertujuan mendapatkan kepastian mengenai status PN, termasuk sama ada gabungan tersebut boleh bertanding dalam PRN Melaka menggunakan nama dan logonya sendiri.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan BERSATU belum disingkirkan secara rasmi daripada gabungan berkenaan.

Bagaimanapun, hubungan antara kedua dua pihak dilihat semakin tegang selepas Takiyuddin pada Ogos lalu mengesahkan BERSATU tidak akan terlibat dalam rundingan PN bersama Barisan Nasional (BN) berhubung PRN Melaka.

Sumber: Malay Mail

Scroll to Top